Hakikat KAYA
Assalaamualaikum...
Harta jika diletakkan sebagai alat, akan menyelamatkan. Tetapi jika harta menjadi matlamat, akan membawa mudarat. Justeru, letakkan harta ditangan supaya mudah dibelanjakan ke jalan Allah. Jangan letak dalam hati sehingga menimbulkan tamak dan zalim, lalu menimbulkan musibah. Bukan kaya harta atau miskin harta yang menjadi persoalan tetapi setiap kita perlu berusaha untuk mencari kekayaan hati yang boleh dimiliki oleh si miskin dan si kaya. Si kaya yang juga kaya hatinya, akan mendapat ketenangan dan kebahagiaan. Manakala si miskin yang kaya hatinya juga akan memiliki ketenangan dan kebahagiaan. Allah Maha Adil, dengan tidak meletakkan ketenangan dan kebahagiaan pada harta, kerana tidak semua manusia mampu memilikinya. Sebaliknya meletakkannya pada hati yang kaya, satu kurniaan yang boleh diraih oleh simiskin mahupun sikaya.
Orang miskin berjalan atas landasan kesabaran, sikaya berjalan atas landasan kesyukuran. Pasrahlah pada takdir, setelah mengusahakan sebaik baik tadbir. Jika takdirnya kita menjadi miskin, jadilah hamba Allah dengan kemiskinan itu. Jika telah ditentukan menjadi orang kaya, jalanilah ibadah sebagai orang kaya. Yang penting, sampai kepada tujuan yang sama iaitu keredhaan Allah.
" Kaya bukanlah diukur dengan banyaknya kemewahan dunia, namun kaya (ghina) ialah kaya hati."
Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Waallahu'alam
Comments
Post a Comment