Jagalah solatmu
*Solat adalah perkara pertama yang akan ditanya di akhirat kelak. Kalau fail bab solat, maka amalan-amalan lain pun akan tertolak. Tatkala orang-orang bertaqwa sedang berusaha memperbaiki kekhusyukan solat mereka, dan melengkapkan solat-solat sunat, masih ada umat Islam yang langsung tak berasa bersalah, tak rasa berdosa apabila meninggalkan solat dengan sengaja.*
*Generasi muda terutamanya, generasi yang kuat dan dikurniakan oleh Allah tubuh badan sihat untuk beribadat, tapi masih ramai yang buat sambil lewa sahaja bab solat.*
*Semata-mata sebab nak tengok wayang, sanggup melewat-lewatkan solat, bersolat ala kadar, dan lebih teruk, ada yang sanggup tak solat terus. Bagi mereka, tiket wayang berharga RM12 itu jauh lebih berharga daripada pahala solat, dan jauh lebih merugikan jika tak ditonton berbanding dicampakkan ke dalam neraka.*
*Semata-mata tak nak usik, tak nak kacau make up di hari persandingan, atau apa-apa event lain, sanggup tak solat, atas alasan kalau ambil wuduk nanti terpaksa make up semula daripada awal, dan itu akan memakan masa yang lama. Pendek kata, malas. Ada juga yang berwuduk ala kadar, tak sempurna wuduk mereka apabila air tak sampai ke anggota wuduk, sebab kaedah wuduknya yang takut-takut menyebabkan make up tertanggal. Wahai sahabat, make up lah setebal manapun, ia takkan dapat melindungi kulit daripada bakaran api neraka.*
*Semata-mata sebab susah nak berwuduk, susah nak pakai kain sembahyang, susah nak cari tempat solat, malu nak solat kat tempat yang ramai orang tengok semasa sedang travel ke luar negara, maka sanggup ditinggalkannya solat fardu. Bagi mereka, pandangan manusia sekeliling jauh lebih perlu diutamakan berbanding pandangan Allah. Walhal bukannya manusia yang mampu menyelamatkan kita daripada api neraka.*
*Dan semata-mata sebab mengantuk sangat, malas bangun dari katil, malas beralih dari selimut, sanggup ditinggalkan solat Subuh, dengan alasan nanti boleh qada. Wahai sahabat, kalian tetap berdosa sebab tinggalkan solat dengan sengaja, dan wajib bertaubat atas dosa itu. Dosa itu takkan hilang hanya dengan qada solat. Dosa itu hanya akan hilang apabila kalian bertaubat.*
*Jagalah solat seperti kalian menjaga nyawa kalian. Tiada guna hidup seribu tahun jika solat dibuat sambil lewa, ditinggal dan diabai begitu sahaja tanpa sekelumit pun rasa bersalah dan berdosa.*
*Baca al-Quran, surah al-Muddaththir ayat 42 dan 43 berulang-ulang kali setiap kali rasa nak skip solat fardu.*
*Semoga bermanfaat.*
*اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وبارك وسلم تسليما كثيرا*
_*إحْفَظِ اللّه يَحْفَظْكَ*_
Comments
Post a Comment