Rasuah busters

 FB page reference


DENDAM SEORANG JUTAWAN...


Saya mengenali jutawan media yang juga pemilik empayar Karangkraf, Hussamuddin Yaacob lama sebelum beliau bergelar Datuk lagi. 


Ketika saya mengetuai Meja Jenayah dan Laporan Khas di Sinar Harian dulu, kami warga SH memanggil Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf itu sebagai 'Haji'.


Sedikit mengenai Haji, pada tahun 1978, beliau bersama-sama saudara-saudaranya, arwah Fickri Yaacob dan Muhd. Nasir Hamzah, telah menubuhkan syarikat Karangkraf dengan sebuah rumah sewa di SS 2, Petaling Jaya dijadikan pejabat operasi sekaligus kediaman mereka.


Dari sebuah rumah sewa, Kumpulan Karangkraf memperkukuhkan operasi dengan memiliki bangunan 3 blok, 3 tingkat di Taman Tun Dr Ismai. 


Haji kemudian menubuhkan pula Ultimate Print Sdn. Bhd. (UPSB), yang mampu mencetak sehingga 2 juta naskhah majalah setiap bulan.


Untuk pengetahuan korang, kilang cetaknya itu pernah musnah dalam kebakaran dan banyak bank masa tu ‘reject’ permohonan untuk beliau mendapatkan pinjaman kerana tak yakin dengan kemampuan lelaki kecil molek asal Kelantan ini.


Dengan wang simpanan serta bantuan keluarga, beliau berjaya mendirikan semula kilangnya dan dia tidak lagi berpaling. 


Kemudian Haji menubuhkan pula Alaf21 pada April 1997 dan Buku Prima Sdn Bhd pada 2006 sebelum membuat keputusan 'paling berani' menerbitkan akhbar Sinar Harian pada 1 Julai 2006 di Pengkalan Chepa, Kelantan.


Sudah tentu perjalanan panjang Haji dalam dunia perniagaan tak lepas dari 1,001 onak dan duri yang tersendiri, apatah lagi perniagaan keluarga ini bermula dari zero dan bukannya atas ihsan siapa-siapa.


Namun dalam banyak-banyak dugaan yang beliau hadap, sampai sekarang Haji tak akan lupa peristiwa 43 tahun lalu di mana ia telah meninggalkan 'bekas' yang cukup mendalam pada dirinya.


Saya petik sikit apa yang pernah beliau sebut;


“Pada tahun 1978, saya bersama rakan kongsi membawa van dari Petaling Jaya ke Bangsar dan kami ditahan kerana melanggar lampu isyarat.


“Anggota itu memberi pilihan sama ada mahu disaman atau ‘selesai’ di situ. Dia tanya saya ada berapa (duit), saya jawab ada RM12, dan dia ambil RM5 daripada saya. Saya kesal dan marah sehingga sekarang.


“Satu lagi peristiwa ketika kami mula berniaga buku sekolah. Dalam tempoh beberapa tahun, persaingan semakin kuat dan penerbit lain mula membayar (rasuah). Apabila guru sudah minta duit, saya buat keputusan untuk hentikan penerbitan buku sekolah,” katanya.


Sebab itu saya langsung tidak terkejut bila Haji yang juga ketika ini Pengerusi TV Alhijrah, telah melancarkan satu kempen besar-besaran yang dinamakan Rasuah Busters atau gerakan ‘Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa’ bagi membanteras gejala rasuah!


Kempen itu juga mengangkat tema ‘Mak Kata Jangan’ memandangkan ibu merupakan individu yang cukup istimewa, yang mengajar anak untuk menilai perkara baik dan buruk.


Dalam kempen ini, macam-macam yang Haji dan 15 ahli panel dalam gerakan tersebut telah rancang dalam perjuangan mereka untuk menentang pandemik rasuah yang cukup menjijikkan ini. 


Boleh pergi ke website kempen ini di www.rasuahbusters.com


Jadi bila relate dengan pengalaman Haji, amalan rasuah dan yang terbaru pendedahan SPRM mengenai satu sindiket kartel projek yang telah memonopoli 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek sebanyak RM3.8 billion, kita boleh agak kenapa dendam dan benci Haji tentang rasuah ini menyala-nyala.


Semoga perjuangan Haji dan 'kartelnya' dalam memerangi rasuah ini akan mencapai matlamat yang diimpikan, namun sudah pasti ia tidak akan memberi erti tanpa sokongan kita semua rakyat Malaysia.


Syabas Datuk Dr. Hussamuddin Yaacob dan semua yang terlibat!


#MakKataJangan #RasuahBusters

Comments

Popular posts from this blog

Asmaul husna - pelbagai penyakit

Kelebihan surah Al Fiil

Kata-kata hikmah 2