Cyberbullying
Sekadar perkongsian untuk kita semua
SURAT CINTA MURID SEKOLAH DAN ONLINE SHAMING.
Pada tahun 2015, seorang remaja berusia 13 tahun di Washington, Izabel Laxamana membunuh diri dengan terjun dari sebuah jambatan setelah dia dimalukan oleh ayahnya sendiri secara online. Sebuah video berdurasi 15 saat yang memaparkan bagaimana ayah Izabel memotong rambut anaknya itu sebagai hukuman kepada salah laku anaknya telah dimuatnaik ke laman media sosial untuk tontotan umum. Siasatan lanjut mendapati bahawa yang memuatnaik video tersebut adalah pihak ketiga dan dilakukan supaya remaja tersebut berubah.
Malangnya nasi akhirnya menjadi bubur. Kegiatan 'online shaming' tersebut telah meragut nyawa remaja yang masih mentah itu yang sudah tentunya belum mempunyai keupayaan untuk berfikir secara rasional.
---------------------------------------------------
Di tanahair kita pada hari ini surat cinta seorang murid perempuan berusia 11 tahun kepada gurunya telah disebarkan secara meluas di media sosial dan portal berita.
Kisah surat cinta ini telah dibaca oleh beratus-ratus ribu orang, mendapat reaksi (like) oleh berpuluh ribu orang dan di'share' oleh beribu-ribu orang setakat posting ini ditulis.
Surat yang jelas memaparkan nama murid tersebut dan disertakan dengan gambar-gambar guru lelaki tersebut telah mengundang reaksi yang pelbagai, kebanyakannya mentertawakan, mengecam, dan mengutuk kanak-kanak tersebut.
Saya difahamkan surat itu dimuatnaik oleh rakan baik kepada guru lelaki tersebut. Saya tidak tahu apa tujuan surat itu dimuatnaik.
Mungkinkah untuk 'mengajar' kanak-kanak tersebut?
Atau mungkinkah untuk mendapat banyak 'like'?
Mungkin untuk mempromosikan guru-guru 'kacak' di sekolah supaya pelajar bersemangat untuk belajar?
Walau apa pun tujuannya apa yang berlaku hari ini mengingatkan saya kepada kes Izabel.
Ini adalah isu 'ONLINE SHAMING' atau memalukan seorang individu secara 'online'.
Yang paling menyedihkan adalah, kanak-kanak berusia 11 tahun itu telah dimalukan oleh seorang dewasa dan melibatkan seorang pendidik dan sebuah institusi pendidikan.
Ini juga CYBERBULLYING (Buli siber) oleh orang dewasa terhadap kanak-kanak.
Tahukah anda betapa pentingnya elemen 'trust' (percaya) dalam hidup seorang manusia? Seorang manusia membina 'trust' dalam dirinya terhadap orang sekelilingnya dari lahir lagi.
Seorang kanak-kanak membina kepercayaan kepada orang sekeliling yang dekat dan rapat dengannya yang dirasakan boleh membimbingnya dan menghargainya. Rasa percaya inilah yang membantu kita untuk menjadi lebih tenang dan yakin meneroka potensi dan kelebihan diri kita.
Tanpa 'trust' ini kanak-kanak rasa tidak selamat dan sentiasa rasa tidak yakin, rendah diri dan kecewa.
Dalam kes Izabel, ayah adalah satu figura yang lumrahnya sangat dipercayai oleh seorang anak. Anak perempuan sering menjadikan ayah seorang idola yang akan membantunya membuat keputusan dan pilihan dalam hidupnya terutamanya yang berkaitan dengan lelaki. Dengan tersebarnya video tersebut, lunturlah kepercayaan dalam dirinya. Apa gunanya lagi hidup tanpa rasa yakin dan percaya yang dia akan dilindungi oleh salah seorang manusia yang boleh dipercayainya.
Guru juga sepatutnya menjadi seorang insan yang boleh dipercayai, yang menjaga maruah pelajarnya walaupun pelajarnya membuat silap.
Guru sepatutnya menjadi seorang insan yang membimbing seorang kanak-kanak yang melakukan kesilapan dengan cara yang berhikmah, yang bersesuaian dengan pendidikan dan latihan tentang psikologi pelajar yang telah diterimanya sebelum memasuki profesion tersebut.
Guru sepatutnya menjadi seorang manusia yang mempunyai empati terhadap murid yang tersilap langkah. Guru tidak sepatutnya mengikut emosi seperti kanak-kanak.
Guru tidak sepatutnya memalukan muridnya.
Apabila kita dimalukan, otak kita mengalami proses 'flight', 'fight' or 'freeze', yakni melakukan sesuatu tindakan tanpa berfikir dengan waras. Inilah yang menyebabkan Izabel membunuh diri.
Semoga anak tersebut dibimbing, diberi perhatian dan kaunseling oleh pihak sekolah.
Ini isu serius.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
FB: Parent Connect
Comments
Post a Comment