Gerhana mengentarkan hati

BAGAIMANA GERHANA MENGGENTARKAN HATI ORANG YANG BERIMAN??

Semalam hari berlakunya gerhana, ramai yang mengingatkan tentang hadis: “Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua tanda dari tanda kekuasaan Allah. Tidak berlakunya gerhana kerana kematian atau kehidupan sesiapa, namun ia sebagai peringatan dari Allah untuk MENGGENTARKAN hamba-Nya” [Sahih al-Bukhari].

Mungkin ramai yang tertanya, bagaimana kejadian gerhana merupakan peringatan yang sepatutnya menggentarkan hati kita, sedangkan ia merupakan proses normal alam yang sering berlaku sejak dahulu dan telah dijangka waktunya oleh pakar angkasa?

1.    Gerhana merupakan salah satu petanda wujudnya Tuhan yang mentadbir alam semesta. Dalam al-Quran Allah kerap menyuruh kita merenung kejadian alam semesta sebagai petanda kebenaran Allah dan al-Quran.

سَنُرِيهِمۡ ءَايَـٰتِنَا فِى ٱلۡأَفَاقِ وَفِىٓ أَنفُسِہِمۡ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمۡ أَنَّهُ ٱلۡحَقُّ‌ۗ
“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar” [Fussilat: 53].

2.    Alam semesta ini dari sebesar-besar galaksi sehingga sehalus tiupan angin semuanya berjalan mengikut aturan dan kitaran tertentu. Matahari dan bumi yang berlari laju ini juga tidak terasa pergerakannya walaupun kadar kelajuan bumi mengelilingi matahari sepantas 107,200 km/jam dan matahari pula bergerak sepantas kira-kira 720,000 km/jam. 

وَٱلشَّمۡسُ تَجۡرِى لِمُسۡتَقَرٍّ۬ لَّهَا‌ۚ...لَا ٱلشَّمۡسُ يَنۢبَغِى لَهَآ أَن تُدۡرِكَ ٱلۡقَمَرَ وَلَا ٱلَّيۡلُ سَابِقُ ٱلنَّہَارِ‌ۚ وَكُلٌّ۬ فِى فَلَكٍ۬ يَسۡبَحُونَ
“Matahari itu beredar ke tempat yang ditetapkan baginya…Matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya berenang pada orbit masing-masing” [Yasin: 38-40].

3.    Adakah kita merasakan bahawa peredaran berbilion bintang dan galaksi ini berlaku secara semula jadi tanpa ada Yang Maha Kuasa mengaturnya? 
Bagaimana galaksi dan bintang yang terlalu banyak ini ‘berlari laju’ tanpa ada pertembungan, pintasan, kegelinciran? 
Siapakah yang mengatur semua ini??
Tentunya Allah Tuhan Alam Semesta! 
Laluan ‘marathon’ alam semesta ini begitu teliti dan terancang. Jalan yang segala galaksi dan bintang lalui ini tidak saling bertindih atau bersilang di sebalik komet yang banyak dilancarkan di angkasa.
Gerhana matahari atau bulan ini hanya sebahagian kitaran kecil sahaja!

وَٱلسَّمَآءِ ذَاتِ ٱلۡحُبُكِ
“Demi langit yang mempunyai jalan-jalan yang pelbagai” [al-Dzariyat: 7].

4.    Orang yang beriman mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa aturan yang agung ini akan berakhir suatu hari nanti sebagaimana yang telah diberi peringatannya oleh Pentadbir Alam Semesta ini.

فَإِذَا بَرِقَ ٱلۡبَصَرُ * وَخَسَفَ ٱلۡقَمَرُ * وَجُمِعَ ٱلشَّمۡسُ وَٱلۡقَمَرُ * يَقُولُ ٱلۡإِنسَـٰنُ يَوۡمَٮِٕذٍ أَيۡنَ ٱلۡمَفَرُّ
“Apabila (pada hari kiamat berlaku) pemandangan menjadi terbelalak (ketakutan), dan apabila bulan hilang cahayanya, dan apabila matahari serta bulan dihimpunkan bersama! (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia: Ke manakah hendak melarikan diri??” [al-Qiyamah: 7-10].

Ya, gerhana yang begitu indah dilihat ini tatkala matahari dan bulan dilihat tersusun rapi, suatu hari nanti akan bertembung antara satu sama lain menjadikan pemandangannya begitu ngeri sekali pada hari yang cukup menggentarkan manusia, iaitu HARI KIAMAT!

Justeru Nabi SAW ketika melihat gerhana, baginda kelihatan sangat takut dan segera menyeru para Sahabat untuk bangkit menunaikan solat, memperbanyakkan istighfar, berdoa dan bersedekah.

Tidakkah kita sebagai muslim yang memiliki sekelumit iman berasa gentar apabila teringat akan penghujung dunia ini di kala gerhana??

-Dr. Kamilin Jamilin-
#TadabburHadis

Comments

Popular posts from this blog

Asmaul husna - pelbagai penyakit

Kelebihan surah Al Fiil

Kata-kata hikmah 2