Demi masa!!
17 Rabiul Akhir1438H
15 Januari 2017M
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ(٣)
Demi masa (1) Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian(2) kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.(3)
(Al 'Asr: 1-3)
1. Surah Al Asr adalah diantara surah Makkiyah. Surah yang pendek dan ringkas tapi mempunyai nilai yang sangat tinggi dalam memberikan petunjuk sebab-sebab yang boleh membawa kejayaan kepada insan di dunia dan akhirat.
2. Para sahabat Rasulullah SAW apabila bertemu mereka tidak akan berpisah sehingga salah seorang di antaranya membaca surah Al Asr sehingga habis dan kemudian mengucapkan salam. Berkata Imam Syafie:
لو تدبر الناس هذه السورة لوسعتهم.
Maksudnya: Sekiranya manusia mentadabbur surah ini nescaya ia telah mencukupi mereka.
3. Allah bersumpah dengan masa yang dilalui oleh manusia di dalam kehidupan mereka. Hari berganti hari, pertukaran siang dan malam kesemuanya itu menunjukkan tanda kebesaran Allah yang Maha Agung.
4. Allah mempertegaskan di dalam surah Al Asr bahawa semua manusia sentiasa berada di dalam kerugian sama ada di dunia atau di akhirat. Kerugian itu di antara faktornya adalah kerana manusia tidak menghargai nikmat Allah dan tidak mengambil manfaat daripadanya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس الصحة والفراغ.
Maksudnya: Dua nikmat yang sering kebanyakan manusia mensia-siakannya iaitu masa sihat dan waktu lapang.
(Hadith Riwayat Al-Bukhari)
4. Surah Al Asr memperingatkan kita bahawa ukuran kejayaan itu bukanlah terletak pada harta, kedudukan, wang ringgit dan anak pinak yang ramai. Insan yang tidak rugi dan berjaya itu adalah mereka yang menjalani kehidupannya di atas manhaj Allah yang lurus.
5. Surah Al Asr meletakkan empat tanda aras seseorang itu telah berada di atas manhaj yang lurus:
1. Iman: Iaitu beriman kepada Allah dengan mengikut petunjuk Rasulnya dan agama yang benar.
2. Amal soleh: Iaitu amalan yang dilakukan kerana Allah dan menurut sunnah Rasulullah SAW Diantara amal soleh itu seperti menunaikan kewajipan dan meninggalkan perkara yang haram serta melakukan Ibadah yang sunnah.
3. Berpesan dengan kebenaran: Iaitu dengan melakukan Amar Makruf Nahi Munkar
4. Berpesan dengan kesabaran: Iaitu dengan menasihati diantara satu dengan yang lain supaya bersabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah, bersabar dengan ujian buruk yang menimpa dan bersabar dengan dugaan dan cabaran yang dihadapi dalam menyampaikan dakwah sunnah yang hak.
6. Sesungguhnya surah Al Asr memperingatkan kita bahawa Maqasid Syariah itu adalah untuk memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia dan akhirat.
Ruginya mereka yang tidak merasai kerugian jika...
Bila tidak solat.
Bila tidak solat berjamaah.
Bila tidak solat sunat.
Bila tidak bangun qiyam di penghujung malam.
Bila tidak baca atau banyak baca Al-Quran.
Bila tidak banyak berzikir dan berdoa.
Bila tidak di atas jalan perjuangan...
Besarnya pahala saling menasihati.
Hiduplah dalam nasihat menasihati.
Oleh itu, rugi seandainya ianya tidak dilakukan...
Justeru, beruntungnya kalaulah manusia sedar...
Comments
Post a Comment