Puasa baik untuk sihat

Petikan dari FB Ini Sains Beb

Sejak viral amalan puasa berselang seli, ramai betul teruja untuk berpuasa. Alhamdulillah. Penulis pun turut sama berpuasa hari ini. Jika anda seorang yang kerap berpuasa, anda akan tahu puasa sebenarnya mempunyai banyak faedah terhadap kesihatan. Selain membolehkan sistem pencernaan kita berehat, ia juga boleh membantu kita mengurangkan kalori yang tidak sepatutnya.

Kali ini saya ingin berkongsi dapatan kajian pelajar PhD saya yang baru sahaja lulus viva beliau. Kajian beliau menyoroti orang tua selama 3 tahun untuk melihat kesan berpuasa ke atas fungsi kognitif. Apa itu fungsi kognitif, ya, ia adalah fungsi utama otak seperti kebolehan mengingat, kebolehan berfikir dan sebagainya.

Jadi, dapatan kajian awal adalah, mereka yang sihat di hari tua, kerap berpuasa, setiap minggu berpuasa dan amalan yang dilakukan adalah puasa Isnin dan Khamis, iaitu tahap paling rendah dalam amalan puasa berselang seli (intermittent fasting) namun paling sesuai diamalkan oleh orang tua. Puasa Isnin dan Khamis mengambil konsep 5:2 (iaitu 5 hari makan biasa dan 2 hari berpuasa). Kebanyakan orang tua yang berpuasa ini hanya mengambil air kosong atau kurma sebiji untuk sahur dan berpuasa.

Didapati, mereka yang kerap berpuasa ini akan tergolong dalam penuaan berjaya (successful ageing) di mana mereka dikira sihat dari segala aspek berbanding kumpulan yang jarang mengamalkan amalan puasa sunat dan kumpulan yang tidak mengamalkan puasa sunat langsung. Ingat, ini kajian 3 tahun ya, jadi mereka memang mengamalkan berpuasa ini sebagai gaya hidup mereka.

Kerosakan DNA, peratusan tekanan oksidatif juga lebih rendah dalam kumpulan subjek yang mengamalkan puasa sunat Isnin dan Khamis.

Terdapat tujuh metabolit yang terlibat dengan pengamalan puasa sunat iaitu 3-hydroxybutyrate, acetate, acetoacetate, n-acetylglucosamine, guanosine, glukosa, dan N-acetylserotonin melalui metabolisma glukosa, metabolisma asid amino, dan metabolisma keton yang membantu dalam memberi kesan neuro-perlindungan didapati dalam kumpulan yang mengamalkan puasa sunat.  Jadi, apa signifikannya penemuan metabolit ini?

Ia sebenarnya menunjukkan tapak jalan yang terlibat. 3-hydroxybutyrate, acetate and acetoacetate sebenarnya bahan metabolit utama yang terlibat dalam pengoksidaan lipid. Selain itu, ia juga merupakan bahan metabolit yang dapat membantu dalam proses perlindungan neuron.

Apabila sumber glukosa dari luar tidak ada dan sumber glikogen (glukosa simpanan dalam hepar) telah habis dgunakan, badan akan mengoksidakan lipid sebagai sumber tenaga. Ini membolehkan proses ketogenesis (pengoksidaan lemak/penghasilan jasad keton) berlaku.

Berdasarkan kajian kami, amalan intermittent fasting (puasa sunat isnin dan Khamis) boleh membantu dalam penuaan yang sihat dan mengurangkan risiko untuk mengalami pelbagai penyakit akibat kegagalan kognitif seperti dementia (nyanyuk) dan Alzheimer.

Puasa dengan kombinasi amalan suku suku separuh ketika berbuka amat digalakkan dan jelas, ia dapat membantu tubuh utuk berfungsi dengan lebih baik dan lebih sihat. Jadi, mana yang masih tak makan sarapan hari ni, jom kita berpuasa!

#micronucleus

Rujukan :
1. Tesis Pelajar Doktor Falsafah – Asheila ak Meramat – 2018. Pengamalan puasa sunat isnin dan khamis  terhadap fungsi kognitif, kerosakan oksidatif dan pemprofilan metabolit dalam kalangan warga emas dengan kegagalan kognitif ringan. Universiti Kebangsaan Malaysia

Comments

Popular posts from this blog

Asmaul husna - pelbagai penyakit

Kelebihan surah Al Fiil

Doa - sekali baca seumur hidup