Subuh lewat dan tahajud
Salam ikhwan/akhwat.
SUBUH LEWAT DAN TAHAJJUD
Subuh masuk lewat ketika ini (iaitu jam 6:03 ketika status ini ditulis - waktu Putrajaya), nescaya jika kita terbangun dari tidur pada jam 5:50 pagi hatta jam 6 pagj sekalipun, kita masih berpeluang mendirikan solat tahajjud dua raka'at dan ditutup dengan 3 atau 1 raka'at solat witir (kecuali jika telah witir sebelum tidur - tidak perlu witir lagi kerana Nabi sebut tiada dua witir dalam satu malam).
Waktu solat TAHAJJUD bermula selepas isyak, kemudian tidur dan mujahadah bangun sebelum subuh untuk solat menurut majoriti ulama' berdasar athar sahabat Nabi bernama Hajjaj Bin al- Amru yang hasan sanadnya menurut Ibn Hajar dalam Talkhis al-Habir.
Tamat waktunya adalah ketika masuk waktu Subuh atau fajar sebagaimana hadis :
إن الله أمدكم بصلاة هي خير لكم من حمر النعم ، وهي الوتر فجعلها الله لكم فيما بين العشاء إلى طلوع الفجر
Ertinya : Sesungguhnya Allah mengurniakan bagimu solat yang lebih baik dari unta merah (barang paling berharga di dunia) iaitulah solat witir dan dijadikan baginya waktu selepas solat Isyak sehingga naik Fajar. (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).
Justeru, ambillah peluang mendirikan solat tahajjud yang ditutup dengan witir sebagai mujahadah diri dan jiwa. Allah subhanahu wa ta'ala menjanjikan kemulian kedudukan (di akhirat) bagi mereka yang melaziminya. JANGAN niat solat Tahajjud untuk kononnya muka bercahayalah, putih, untuk kaya dan lain-lain sebab dunia, jadikan ia khas untuk menghampirkan diri kepada Allah subhanahu wa ta'ala dan redha-Nya. Insha Allah.
JANGAN juga pandang rendah jika hanya mampu laksana DUA raka'at Tahajjud sahaja, asalkan konsisten kerana 'ibadah yang konsisten lebih dicintai Allah subhanahu wa ta'ala berbanding yang banyak tetapi terputus.
Tahajjud dua raka'at yang tidak melahirkan bongkak dan 'ujub JAUH LEBIH MULIA dari berbelas raka'at tetapi 'ujub, bongkak dan memandang rendah 'ibadah orang lain.
DrZaharuddinAbdRahman
Comments
Post a Comment