Kesilapan adalah fitrah kehidupan
dipetik dari email circle.
Assalamualaikum wbt semua! Apa khabar?
Lama benar kami di NLP Malaysia Centre tak menghantar tip dan artikel menarik. Kali ini saya nak share topik yang selalu kita hadapi; Menangani Kesilapan!
Semua manusia pernah buat silap. Adakah anda takut melakukan kesilapan? Adakah anda tahu bagaimana untuk menangani dan belajar daripada kesilapan? Sering mengulangi kesilapan yang sama? Benci kesilapan dan tidak dapat apa-apa daripada kesilapan?
Usah ‘bazirkan’ hidup anda dengan melakukan kesilapan, tanpa mendapat sesuatu. Pelajari bagaimana untuk menangani dan mengurus kesilapan. Lebih daripada itu, anda boleh belajar daripada kesilapan anda! Tip di bawah ini mungkin boleh membantu anda:
1. Terima kesilapan yang anda lakukan. Memanglah kalau kita buat silap, kita berasa kecewa dan sedih. Tetapi jangan biarkan kesedihan itu ‘memerangkap’ hidup anda. Terima ia sebagai satu pengalaman hidup yang akan terus mendidik dan membimbing anda.
2. Akui hakikat bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada fitrah kehidupan. Semakin banyak usaha untuk mencapai kejayaan, semakin besar risiko untuk anda melakukan kesilapan. Orang yang tidak buat silap ialah orang yang tidak berbuat apa-apa. Tetapi tidak berbuat apa-apa adalah kesilapan yang paling besar. George Bernard Shaw pernah berkata, “Kejayaan bukannya tidak melakukan kesilapan, tetapi tidak melakukan kesilapan yang sama untuk kali kedua”
3. Hanya lembah yang rendah mampu menadah. Air hanya pergi dan berkumpul di tanah yang rendah. Jika anda asyik meninggikan diri sendiri, maka alamat susah untuk menadah ilmu. Oleh itu, dalam banyak hal; anda perlu merendah diri dengan orang lain supaya boleh ‘menadah’ ilmu yang ‘mencurah-curah’ dari orang di sekeliling anda. Barulah anda boleh betul-betul belajar daripada kesilapan yang berlaku.
4. Sedia untuk meminta maaf. Jangan rasa hina dan malu untuk meminta maaf. Meminta maaf adalah manifestasi kematangan dan rasa tanggungjawab seseorang itu. Jika anda berdiam diri, bukan sahaja dia marah kerana anda buat silap, bahkan menjadi semakin marah kerana ‘kebiadapan dan berlagak’ yang anda tunjukkan kerana enggan meminta maaf.
5. Jika ia kesilapan peribadi anda; rahsiakannya. Ada kesilapan yang tidak melibatkan orang lain. Jika ini berlaku, simpanlah ianya sebagai rahsia hidup anda. Tiada guna anda membuka pekung di dada. Analisalah segera kesilapan itu dan lakukan usaha pembaikan demi perubahan.
6. Jika ia melibatkan orang lain?. Berterus terang dengannya, janjikan bahawa anda akan berusaha untuk memperbaiki kesulitan yang wujud kerana kecuaian anda. Setelah berusaha, terangkanlah apa yang anda telah lakukan dan sejauh manakah keberkesanannya.
7. Jika anda tidak dapat memperbaiki kesilapan itu, minta bantuan. Tanyalah rakan-rakan anda yang lebih arif dalam bidang tersebut. bincangkan dengan dia, apakah tindakan yang anda telah lakukan, dan kenapa masih tidak berjaya. Kemahiran memujuk dan mendorong sangat penting dalam proses ini.
8. Belajar daripada kesilapan, elak daripada berulang. Renungkan apa sebenarnya yang telah berlaku. Apakah faktor-faktor sehingga berlaku kegagalan itu. Kemudian, cari jalan untuk mengelakkan daripada perkara sama berulang kembali. Jika masih berlaku; mintalah bantuan mereka yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan daripada anda. terangkanlah kepadanya tentang masalah yang dihadapi secara terperinci. Bahkan kadangkala anda akan dapat mencari penyelesaian ketika anda sedang menerangkan kepadanya!
Bagaimana untuk bangkit selepas melakukan kesilapan? Upgrade diri dengan bermacam ilmu yang ada di luar sana.
Sekian, Salam Sukses!
Fadzli Yusof
Pengasas www.nlpmalaysia.net
Comments
Post a Comment