Beriman kpd qadha dan qadar

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Isnin, 15 Rabiul Akhir 1437H  

HIKMAH BERIMAN KEPADA QADHA DAN QADAR.

Apabila kita mengamati orang-orang di sekeliling kita, maka akan terlihat bahawa Allah SWT telah menciptakan setiap manusia dalam keadaan yang tidak sama antara yang satu dengan yang lain.

Ada yang laki-laki dan ada pula yang perempuan, ada yang cantik dan ada pula yang kurang cantik. Ada yang berambut perang, berambut hitam, ada yang berambut lurus, dan ada pula yang kerinting. Ada yang berkulit putih, dan ada yang berkulit hitam. Ada pandai dan ada yang tak pandai dan sebagainya.

Seseorang tidak pernah meminta dilahirkan untuk menjadi bangsa, Malaysia, Indonesia, Cina, Arab, Amerika, atau bangsa manapun. Semua itu merupakan ketetapan penciptaan Allah SWT yang kita sebut dengan takdir.

Dalam kehidupan sehari-hari, setiap orang akan dihadapkan kepada kenyataan hidup yang dialaminya. Kenyataan itu kadang ada yang berbentuk positif dan terkadang negatif.

Orang-orang yang beriman kepada qadha dan qadar, akan menanggapi semua peristiwa yang berlaku secara positif, sedangkan orang yang tidak beriman kepada qadha dan qadar, kejadian apapun yang diterima, akan ditanggapi dan diterima secara negatif.

Kerana orang yang beriman kepada qadha dan qadar meyakini bahawa segala sesuatunya sudah di tentukan Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an Surah Ar-Rad, ayat 8:

وَكُلُّ شَيْءٍ عِندَهُ بِمِقْدَارٍ.
"Dan segala sesuatu pada sisiNya sudah ada ukurannya' (ketentuan-Nya). (QS. Ar-Ra`d : 8) .

Tazkirah hari ini, ingin berkongsi sedikit tentang kelebihan orang yang beriman kepada qadha dan qadar? Beriman kepada qadha dan qadar mempunyai hikmah yang penting dalam kehidupan kita?

Di antara hikmah beriman kepada qadha dan qadar adalah:

1. Orang yang beriman kepada qadha dan qadar akan selalu menyedari dan menerima kenyataan hidup dengan baik.
Orang yang beriman kepada qadha dan qadar, akan dapat menumbuhkan kesedaran yang tinggi untuk menerima kenyataan hidup dengan lebih baik.

Kerana semua yang terjadi adalah merupakan ketentuan Allah SWT pada hakikatnya bencana atau rahmat itu semata-mata datangnya dari Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam al-Qur’an Surah Al-Ahzab, ayat 17:

قُلْ مَن ذَا الَّذِي يَعْصِمُكُم مِّنَ اللَّهِ إِنْ أَرَادَ بِكُمْ سُوءًا أَوْ أَرَادَ بِكُمْ رَحْمَةً وَلَا يَجِدُونَ لَهُم مِّن دُونِ اللَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا
“Katakanlah: “Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (takdir) Allah jika Allah menghendaki bencana atasmu, atau menghendaki rahmat untuk dirimu dan orang-orang munafik itu tidak memperoleh bagi mereka pelindung dan penolong selain Allah SWT ”. (QS. al-Ahzab : 17)

2. Orang yang beriman kepada qadha dan qadar akan sentiasa bersikap sabar dalam menjalani kehidupan.
Orang yang beriman kepada qadha dan qadar akan sentiasa menerima segala sesuatu dengan penuh kesabaran, baik dalam situasi yang sempit atau susah dan tetap bersabar dalam situasi senang atau bahagia.

Dengan demikian orang yang beriman kepada takdir Allah SWT sentiasa dalam keadaan stabil jiwanya.

Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an surah Al-Ankabut, ayat 2:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ.
“Apakah manusia itu mengira mereka akan dibiarkan, sedang mereka tidak diuji lagi (oleh Allah SWT) ?”. (QS. al-Ankabut : 2)

Bentuk ujian dan cubaan Allah SWT tersebut mungkin berupa tiadanya kemewahan hidup, fizikal yang sakit, diberi penyakit, ditimpa bencana alam, dan lain sebagainya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 155:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ.
“Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (QS. al-Baqarah : 155)

Ayat 155 surat al-Baqarah tersebut memberi berita gembira kepada orang-orang yang bersabar. Sememangnya dalam menghadapi kehidupan, diperlukan sikap sabar. Tanpa sikap sabar, manusia akan sukar mencapai kejayaan.

3. Beriman kepada qadha dan qadar Allah SWT, menjadikan manusia rajin berusaha dan tidak mudah menyerah kalah.
Beriman kepada qadha dan qadar tidak bermakna menerima segala sesuatu tanpa sebarang usaha, justeru beriman kepada qadha dan qadar mendorong seseorang untuk tetap rajin berusaha, dan yakin bahawa segala hasil usaha manusia selalu diawasi, dinilai, serta diberi balasan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam al-Qur’an surah An-Najm, ayat 39 - 42:

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ () وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَىٰ() ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الْأَوْفَىٰ() وَأَنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ الْمُنتَهَىٰ
“Dan bahawasannya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya(39). Dan bahawasanya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya)(40). Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna(41), dan bahwasannya kepada Tuhanmu-lah kesudahan (segala sesuatu) (42)”. (QS an-Najm : 39-42)

4. Orang yang beriman kepada qadha dan qadar Allah SWT akan sentiasa bersikap positif, dan tidak bersikap negatif.
Keyakinan terhadap Qadha dan Qadar dapat menumbuhkan sikap yang optimis, tidak mudah putus asa.
Kerana ia yakin walaupun selalu menghadapi kegagalan, pasti suatu saat akan berhasil sehingga tidak akan cepat berputus asa.

Firman Allah SWT dalam al-Qur’an surah Yusuf, ayat 87:

وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ.
“…dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah SWT. Sesungguhnya tidaklah berputus asa dari rahmat Allah SWT, melainkan kaum yang kafir.” (QS. Yusuf : 87)

5. Orang yang beriman kepada qadha dan qadar akan sentiasa menerapkan sikap tawakkal dalam menjalani kehidupan.
Tawakkal (berserah diri kepada Allah SWT) akan tumbuh pada diri seseorang jika ia meyakini bahawa segala sesuatu telah dikehendaki Allah SWT.

Allah SWT Maha bijaksana sehingga menurut keyakinannya Allah tidak mungkin menyusahkan hambaNya. Allah SWT adalah sumber kebaikan sehingga tidak mungkin Allah SWT menghendaki hambaNya kepada keburukan.

Firman Allah SWT dalam al-Qur’an surah Hud, ayat 56:

إِنِّي تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ رَبِّي وَرَبِّكُم مَّا مِن دَابَّةٍ إِلَّا هُوَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا إِنَّ رَبِّي عَلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
“Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah SWT, Tuhanku, dan Tuhanmu. Tidak ada satu binatang melata pun, melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus.” (QS. Hud : 56).

Ya Allah kami sedar bahawa segala sesuatu yang berlaku di atas muka bumi ini adalah atas ketentuanMu dan kehendakMu, jadikan kami ya Allah hamba yang redha dengan segala ketentuan Mu. Aamiinn Yaa Robbal 'Aalamiin !!!!!

Wallahu A'lam.

Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….

Jazakumullahu khairanjaza’..
Doakan Sehat wal Afiat.
Wassalam

Comments

Popular posts from this blog

Asmaul husna - pelbagai penyakit

Kelebihan surah Al Fiil

Kata-kata hikmah 2