Menjemput rezeki
“Rezeki ini, kita kena jemput dia masuk dalam rumah kita, pejabat kita, kilang kita, kedai kita, perut kita, keluarga kita, semuanya kena berjemput. Tak boleh main-main biarkan dia duduk luar dan berlegar,”
Gulp. Tak pernah saya dengar mana-mana orang cakap begitu. Saya pun duduk sahajalah mendengar ustaz yang duduk di mejanya. Jadi orang yang ke sana ke mari, solat di mana-mana surau yang kami singgah memang selalulah nak cepat, dan selalu juga dapat momen begini rasa susahnya nak lepaskan.
Beliau menyambung,
“Nak jemput ia masuk, kena ada 2 cara ini,” saya pun lekas ambil telefon dan taip semuanya! Kahkah, ini bagus woih.
1. Rezeki akan mengetuk pintu rumah kita, apabila kita mendahulukan adab terhadap rezeki sebelumnya. Contohnya, adab semasa makan, adab semasa dapat gaji, adab semasa sihat, adab semasa kuat dan adab semasa hebat.
Semua benda ini ada adab-adabnya. Dan itulah rezeki yang kita dapat sebelum atau pada waktu semasa.
Ada makanan lebih, kongsi. Ada gaji lebih, simpan dan beri kepada keluarga dan ibu bapa, ada kesihatan lebih, bantu orang, ada kemahiran yang hebat sikit, tolong orang. Itu semua akan menyebabkan ‘rezeki’ lama akan beritahu kepada ‘rezeki’ baru untuk kembali ketuk ke rumah kita semua.
2. Menghormati pembawa dan pemberi rezeki. Umumnya kita tahu yang ibu bapa itu adalah anugerah yang sangat besar nilainya.
Namun ramai tak sedar yang mereka itu adalah pembawa rezeki kepada kita semua. jadi, bagaimana ingin teruskan rezeki itu masuk ke dalam rumah kita, diri kita dan keluarga adalah dengan menyenangkan ibu bapa, memberi keselesaan serta membantu semasa senang dan susah.
Waktu lapang, balik. Waktu sibuk, telefon. Dan tak boleh berkira sesen pun sekiranya mereka minta apa-apa. Biar berhabis, nanti adalah yang Allah akan ganti.
Satu lagi, tentang pemberi rezeki. Semua orang boleh sebut, “rezeki ini Allah beri,” namun tak tahu disebalik Allah beri itu, ada satu makhluk yang sentiasa melihat dan membawa doa kita naik ke atas.
Ia disebut berkat.
Makhluk berkat ini sentiasa dengan kita. Apabila kita berbuat kebaikan, si berkat ini akan naik ke atas. Lalu berjumpa Allah dan beritahu yang kita ini sentiasa berkongsi, sentiasa bersyukur dan selalu meminta kepada Allah sama ada dalam bentuk sikit atau banyak.
Dalam solatnya, dalam puasanya, dalam sedekahnya, ada sahaja yang dia minta-minta. Dan yang paling besar dalam setiap permintaannya iatu, dia mulakan dengan taubat, memohon keampunan dan kemaafan di atas segala dosanya.
Lalu barulah dia meminta rezeki yang melimpah-limpah untuk dia, untuk emak ayahnya, untuk adik beradiknya, untuk keluarganya, untuk jirannya, untuk kawan-kawannya dan untuk semua yang mengenalinya.
Ustaz itu duk ulang banyak kali, “berkat ini datang apabila kita nak orang sekeliling kita pun diketuk pintu rumahnya oleh rezeki-rezeki, kita bahagia apabila orang lain dapat rezeki itu memang sebuah kesempurnaan hati.”
Lalu Allah makbulkan kita punya permintaan.
Begitulah. Saya tulis kembali di sini untuk kalian semua. semoga kita boleh buat sama-sama ya.
Semoga bermanfaat, begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Rezeki untuk semua.
Comments
Post a Comment