Bicara seorang imam dengan atheis
Soal jawap seorang pemuda muslim dan sekelompok athies ::
Semua yang ada di dalam majlis
ketika itu terkejut dengan
keberanian pemuda ini. Maka
bermulalah perdebatan di antara
mereka. Bila mana pemuda ini
duduk duduk pada tempat yang
disediakan maka serentak dengan
itu salah seorang Atheis terus
mengajukan soalan:
Soalan Pertama
Atheis: “Pada zaman bilakah
Tuhan kamu dilahirkan?”
Pemuda tersebut tersenyum lalu
menjawab: “Allah Taala tidaklah
sesuatu yang dilahirkan. Jika Dia
dilahirkan sudah tentu Dia punya
bapa, Allah juga tidak melahirkan.
Jika Dia melahirkan maka sudah
tentu Dia punya anak.”
Soalan Kedua
Atheis: “Kalau begitu, bilakah
pula Tuhan kamu wujud?”
Pemuda itu seraya menjawab:
“Allah Taala itu wujud sebelum
adanya zaman, sedangkan zaman
itu sendiri adalah ciptaanNya,
mana mungkin pencipta wujud
selepas makhluk ciptaanNya.”
Soalan Ketiga
Atheis: “Cuba kamu berikan
kepada kami sedikit gambaran
tentang kewujudan Tuhan kamu
yang tiada permulaan ini.
Bagaimana mungkin sesuatu itu
ada tanpa ada permulaannya?”
Pemuda itu menjawab: “Kamu
pandai mengira?”
Kelompok Atheis itu menjawab:
“Tentu sekali kami pandai
mengira.”
Pemuda itu meneruskan
ucapannya: “Bolehkah kamu
beritahu aku apakah nombor
sebelum nombor empat (4)?”
Atheis: “Nombor 3″
Pemuda: “Nombor sebelum 3?”
Atheis: “Nombor 2″
Pemuda: “Nombor sebelum 2?”
Atheis: “Nombor 1″
Pemuda: “Nombor sebelum 1?”
Atheis: “Tiada”
Pemuda itu tersenyum lalu
memberikan penerangan: “Nah,
kamu sendiri mengakui bahawa
nombor 1 sebelumnya tiada
mulanya. Nombor yang merupakan
ciptaan Allah ini sendiri kamu
akui bahawa tiada permulaan
baginya. Apatah lagi pencipta
kepada nombor itu sendiri?”
Terpinga-pinga kelompok Atheis
tersebut dengan jawapan yang
padat dan bernas daripada
pemuda itu. Ternyata mereka
silap perkiraan bila mana
berhadapan dengan anak muda
ini. Pada mulanya mereka
merasakan bahawa anak muda ini
mudah dikalahkan, namun
telahan mereka ternyata
menyeleweng. Mereka perlu lebih
berhati-hati.
Soalan Keempat
Atheis: “Tahniah anak muda di
atas jawapanmu sebentar tadi.
Jangan sangka kamu berada di
dalam keadaan yang selesa. Baik,
tolong kamu terangkan kepada
kami, pada bahagian manakah
Tuhan kamu mengadap?”
Pemuda itu menjawab: “Jika aku
bawa sebuah pelita yang dicucuh
dengan api ke sebuah tempat
yang gelap, pada arah manakah
cahaya pada api tersebut
mengadap?”
Kelompok Atheis menjawab:
“Cahaya itu tentulah akan
menerangi keseluruhan arah.”
Pemuda itu berkata: “Jika cahaya
yang diciptakanNya itu pun kamu
semua tidak mampu menerangkan
pada arah manakah ia mengadap,
inikan pula Sang Pemilik Cahaya
langit dan bumi ini sendiri?”
Kesemua hadirin yang mendengar
jawapan daripada pemuda itu
bersorak kegembiraan. Kagum
mereka dengan kepetahan anak
muda itu.
Soalan Kelima
Atheis: “Bolehkah kamu terangkan
kepada kami, bagaimana zat
Tuhan kamu? Adakah ianya keras
seperti besi? Atau jenis yang
mengalir lembut seperti air? Atau
ianya jenis seperti debu dan
asap?”
Pemuda itu sekali lagi tersenyum.
Beliau menarik nafas panjang lalu
menghelanya perlahan-lahan.
Lucu sekali mendengar persoalan
kelompok Atheis ini. Orang ramai
tertunggu-tunggu penuh debaran
apakah jawapan yang akan
diberikan oleh pemuda itu.
Pemuda itu menjawab: “Kamu
semua tentu pernah duduk
disebelah orang yang sakit hampir
mati bukan?”
Atheis menjawab: “Tentu sekali.”
Pemuda itu meneruskan: “Bila
mana orang sakit tadi mati,
bolehkah kamu bercakap
dengannya?”
Atheis menjawab: “Bagaimana
mungkin kami bercakap dengan
seseorang yang telah mati?”
Pemuda itu meneruskan:
“Sebelum dia mati kamu boleh
bercakap-cakap dengannya,
namun selepas dia mati, terus
jasadnya tidak bergerak dan tidak
boleh bercakap lagi. Apa yang
terjadi sebenarnya?”
Kelompok Atheis tertawa lalu
memberikan jawapan: “Adakah
soalan seperti ini kamu tanyakan
kepada kami wahai anak muda?
Tentu sekali seseorang yang mati
itu tidak boleh bercakap dan
bergerak . Ini kerana rohnya telah
terpisah daripada jasadnya.”
Pemuda itu tersenyum mendengar
jawapan mereka lalu berkata:
“Baik, kamu mengatakan bahawa
rohnya telah terpisah daripada
jasadnya bukan?
Bolehkah kamu
sifatkan kepada aku sekarang,
bagaimanakah bentuk roh
tersebut. Adakah ianya keras
seperti besi, atau ianya mengalir
lembut seperti air atau ianya
seperti asap dan debu yang
berterbangan?”
Tertunduk kesemua Atheis
tersebut bila mana mendengar
persoalan pemuda bijak tersebut.
Ternyata olokan mereka sebentar
tadi kembali tertimpa ke atas
mereka.
Kelompok Atheis menjawab
dengan keadaan penuh malu:
“Maaf, tentu sekali kami tidak
dapat mengetahui bagaimana
bentuknya.”
Pemuda itu lalu meneruskan
bicaranya: “Jika makhluknya
seperti roh itu pun kamu tidak
mampu untuk menerangkannya
kepada aku, bagaimana mungkin
kamu ingin menyuruh aku
menerangkan bagaimana bentuk
Tuhan Pemilik Roh serta sekalian
alam ini?”
Soalan Keenam
Atheis: “Di manakah Tuhan kamu
duduk sekarang?”
Pemuda itu kembali bertanyakan
soalan kepada mereka: “Jika kamu
membancuh susu, tentu sekali
kamu mengetahui bahawa di
dalam susu tersebut ada terdapat
lemak bukan? Bolehkah kamu
terangkan kepada saya,
dimanakah tempatnya lemak
tersebut berada?”
Kelompok Atheis menjawab: “Kami
tidak dapat menerangkan
kepadamu dengan tepat
kedudukan lemak di dalam susu
tersebut. Ini kerana lemak itu
mengambil keseluruhan bahagian
susu tersebut.”
Pemuda itu seraya berkata: “Kamu
sendiri lemah di dalam
memberikan jawapan terhadap
persoalan aku sebentar tadi. Jika
lemak di dalam susu pun tiada
tempat yang khusus baginya,
masakan pula kamu ingin
mengatakan bahawa Tuhan
Pemilik Arasy itu ada tempat
duduk khusus bagiNya? Sungguh
aku pelik dengan persoalan-persoalan kamu ini.”
Soalan Ketujuh
Atheis: “Kami pelik bagaimana
jika masuk ke dalam syurga ada
permulaannya (iaitu selepas
dihisab oleh Allah Taala di
padang Mahsyar) namun bila
mana sudah berada di dalamnya
maka tiada lagi pengakhirannya
(maksudnya tiada kesudahannya
dan akan selama-lamanya di
dalam syurga)?”
Pemuda itu tersenyum lagi lalu
menjawab: “Mengapa kamu pelik
dengan perkara tersebut. Cuba
kamu lihat pada nombor. Ianya
bermula dengan nombor satu
bukan? Namun bolehkah kamu
terangkan kepada aku apakah
nombor yang terakhir di dalam
senarai nombor?”
Terkelu kelompok Atheis ini untuk
memberikan jawapan. Tentu sekali
nombor tiada kesudahannya.
Pemuda itu tersenyum melihat
kelompok Atheis ini terkebil-kebil
tidak mampu memberikan
jawapan.
Kemudian beliau menyambung
bicaranya: “Nah, kamu sendiri
tidak mampu untuk menerangkan
kepadaku apakah nombor terakhir
bukan? Jawapannya sudah
tersedia di hadapan mata kepala
kamu.”
Soalan Kelapan
Atheis: “Kami ingin bertanya lagi,
bagaimana mungkin seseorang di
dalam syurga menurut Nabi kamu
tidak akan kencing dan berak.
Sedangkan mereka juga makan
dan minum? Ini adalah perkara
yang tidak masuk akal.”
Pemuda itu tenang membetulkan
kedudukannya. Lalu beliau
menjawab: “Aku dan kamu
sebelumnya pernah berada di
dalam perut ibu sebelum
dilahirkan bukan? Sembilan bulan
di dalam perut ibu, kita juga
makan daripada hasil darah ibu
kita. Persoalanku, adakah kamu
buang air kecil dan besar di
dalam perut ibumu? Sedangkan
kamu juga makan di dalamnya?”
Sekali lagi kelompok ini terdiam
membisu seribu bahasa. Padat
sekali jawapan anak muda ini.
Soalan Kesembilan
Ia soalan terakhir yang ditanyakan
oleh kelompok Atheis tersebut
kepada pemuda itu bila mana
mereka telah mati kutu dan
sudah terlampau malu ialah
berkenaan:
“Jika kamu terlalu
bijak , apakah yang dilakukan oleh
Tuhanmu sekarang?”
Maka pemuda itu menjawab
dengan tenang:
“Sebelum aku
memberikan jawapan kepadamu,
eloklah kiranya kita bertukar
tempat. Ini kerana kamu berada
pada tempat yang tinggi sedang
aku berada di bawah. Jawapan
hanya boleh diberikan bila mana
aku berada di atas mengambil
alih tempatmu.”
Kelompok Athies itu lalu bersetuju
dengan cadangan pemuda
tersebut, lalu mereka bertukar
tempat. Pemuda itu naik ke atas,
manakala sang Atheis turun ke
bawah.
Bila mana pemuda itu sudah
berada di atas, terus beliau
menjawab:
“Kamu bertanya
sebentar tadi apakah yang
Tuhanku lakukan sekarang bukan?
Jawapannya ialah, Tuhanku
sedang meninggikan yang Haq
(dengan menaikkan pemuda itu ke
atas) dan menurunkan yang Batil
(dengan menurunkan kelompok Atheis tersebut ke bawah).”
Akhirnya mereka mengakui
bahawa tiada lagi persoalan yang
ingin ditanyakan malah
kesemuanya telah dipatahkan
oleh pemuda itu dengan penuh
hikmah.
Walau sudah hampir ribuan
tahun pemuda itu meninggalkan
kita, namun namanya disebut
orang seolah-olah beliau masih
hidup di sisi kita.
Al-Fatihah buat al-Imam al-
A’dzam Abu Hanifah Nu’man bin
Thaabit r.a serta kepada seluruh
gurunya dan kesemua muslimin
dan muslimat sama ada yang
masih hidup atau yang telah
wafat.
- Syeikh Nazrul Nasir Al-Azhari
Comments
Post a Comment