Takwa dalam Ramadhan

*Semoga ibadah ramadhan menjadikan kita insan yg mutawakil*

‎فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِینَ

"...Kemudian apabila engkau telah berazam (untuk melakukan sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya" [Surah Aali Imran 159]

Setiap urusan yang kita azam atau berniat untuk melakukannya maka serahkan segala-galanya kepada Allah. Keazaman atau cita-cita untuk melakukan yang terbaik tersangatlah dituntut dalam agama kita. Setiap perkara itu bermula dengan niat yang baik. Kemudian diiringi dengan perlakuan atau perbuatan. Seterusnya bergantung sepenuhnya kepada Allah swt dalam setiap keputusan dan kejayaan azam kita tersebut.

Bersempena kita berada dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, sepatutnya kita senantiasa berazam untuk menjadi hamba Allah yang terbaik dalam pelaksanaan amal kita. Juga berazam untuk bertaubat daripada segala salah silap agar Ramadhan ini merubah diri kita menjadi insan yang lebih bertaqwa kepada Allah swt.

Telah berkata Abu Hazim rahimahullah:

‎قال أبو حَازِمٍ: عِنْدَ تَصْحِيحِ الضَّمَائِرِ تُغْفَرُ الْكَبَائِرُ، وَإِذَا عَزَمَ الْعَبْدُ عَلَى تَرْكِ الْآثَامِ أَتَتْهُ الْفُتُوحُ

"Ketika mana dia (mula) memperbaiki akhlaknya maka akan diampunkan dosa-dosa besarnya, ketika mana dia mulai bertekad untuk meninggalkan maksiat ketika itu akan dibuka pintu-pintu kebaikan baginya" (Kitab al-Ikhlas wan Niat oleh Ibnu Abi Dunya)

Keazaman amal untuk menjadi yang lebih baik dan lebih bertaqwa perlu diulang-ulang setiap hari dalam diri kita. Ini karena setiap niat yang baik akan ada halangan dan godaan yang mengganggu.

Berkata Imam al-Ghazali rahimahullah: “Jika kamu bertaubat sehingga taubat itu gugur dan kamu kembali melakukan dosa, maka, bersegeralah bertaubat kembali! Katakanlah pada dirimu: "Semoga aku mati sebelum sempat mengulangi dosa kali ini".

Berazam dan bertekadlah untuk menjadikan Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik untuk kita dalam mentaati Allah dan menunaikan seluruh perintah-perintahNya serta meninggalkan segala laranganNya. Semoga rahmat Allah sentiasa bersama kita.

Telah berkata Abu Hazim rahimahullah:

‎قال أبو حَازِمٍ: بَلَغَنَا أَنَّ الْبُكَاءَ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ مِفْتَاحٌ لِرَحْمَتِهِ

"Aku telah mendengar (salafussoleh berkata) bahwa menangis karena takut Allah swt adalah pintu kepada rahmatNya".

Comments

Popular posts from this blog

Asmaul husna - pelbagai penyakit

Kelebihan surah Al Fiil

Kata-kata hikmah 2