Tip keluarga bahagia

🌿Tazkirah Isnin🌿

Tip- Tip Keluarga Bahagia Dalam Islam

SETIAP manusia yang normal terlalu inginkan keluarga bahagia. Kehidupan tenang, aman damai dan sentiasa berbahagia dan ceria selalu.

Bukan semua manusia akan mendapat nikmat rumah tangga aman damai dari mula akad nikah sehingga tua. Tetapi ramai yang diuji sebelum mereka berjaya membina keluarga bahagia.

Allah ingin menguji kesabaran hamba- hambaNya yang beriman dan bertakwa.

Untuk memiliki keluarga bahagian kena ada tiga ciri asas iaitu Sakinah, Mawaddah dan Warahmah . Jika tidak ada tiga ciri ini sebuah keluarga itu belum boleh dipanggil keluarga bahagia

Kunci pertama yang perlu ada adalah mencari pasangan yang beriman dan bertakwa. Seorang lelaki perlu menempah dirinya menjadi lelaki/ suami yang soleh pada masa yang sama dia perlu mencari wanita/ isteri yang solehan untuk menjadi teman hidup.

Firman Allah SWT

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."

( Surah Ar Rum ayat 21)

Dalam ayat tersebut terdapat ungkapan Litaskunu (agar kalian tenteram), Mawaddah dan Warahmah

Pertama : Sakinah yang diertikan sebagai  Ketentraman,

Kedua : Mawaddah ertikan sebagai  Cinta.

Ketiga : Warrahmah ertinya : Kasih Sayang.

Sakinah bermakna kecenderungan atau kecondongan hati agar kedua pasangan  berikhtiar beribadah setinggi mungkin sehingga rumah tangga akan tentram ketika berada bersama suami atau isteri.

Ketentraman adalah buah dari iman dan takwa yang dibina bersama secara istiqamah dan tentunya mahligai rumah tangga akan damai tenteram serta semua masalah dihadapi dengan saling menghormati dan menghargai.

Mawaddah, adalah cinta sejati dalam ertikata menerima pasangan hidup apa adanya dan mencintai kerana mengharapkan semata redha Allah SWT.

Insya Allah Cinta yang terpateri dengan keimanan dan takwa tersebut akan berfungsi dan mampu mengatasi  ancaman, gangguan, hambatan dan dugaan.

Menerima apa adanya pasangan adalah kunci kelanjutan bahtera rumah-tangga.

Warrahmah, salah satu sifat Tuhan Yang Maha Kasih Sayang yang di anugerahkan kepada hambaNya, agar dalam menempuh kehidupan rumah tangga selalu memancarkan kasih sayang dan kelembutan.

Kasih sayang ke dua insan yang dipadukan dalam perkahwinan  akan lebih bertaut ketika dikurniakan cahaya mata dalam kehidupan rumah tangga. 

Amanah yang diberikan Tuhan Yang Maha Pengasih adalah keturunan yang harus dididik  dengan penuh kasih sayang sehingga anak- anak menjadi anak- anak yang soleh dan solehah.

Terdapat 5 Tips untuk mendapat keluarga bahagia mengikut sunah Nabi SAW :

Pertama : Suka Memberi Hadiah

Sebagai seorang suami anda harus peka dan tahu mengambil hati isteri.

Jangan asyik isteri sahaja yang perlu jaga anda secara keseluruhan. Cukuplah dia telah mengandung dan melahirkan zuriat untuk anda, cukuplah dia dah menjaga makan dan minum anda selama mana anda telah berkahwin dengannya selama ini, cukuplah dia telah melayan anda meskipun sedang penat tanpa menghiraukan kebajikan diri sendiri kerana suami pun turut memainkan peranan penting dalam membina kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga. Barulah wujud keadilan

Nabi SAW bersabda: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah , nescaya kamu akan saling mencintai.”

(Hadis Riwayat Bukhari )

Tak perlu yang mahal-mahal, ikut pada kemampuan anda.

Kedua : Sering Memuji Kebaikan Isteri

Kita semua suka dipuji. Bagaimana marah pun seseorang itu tetapi kalau dipuji, pasti hatinya akan sejuk serta-merta.

Nabi SAW gemar memuji isterinya dan baginda juga suka menggunakan bahasa-bahasa yang romantis apabila berkomunikasi dengan isterinya. Contohnya nama panggilan yang sering digunakan oleh nabi terhadap isterinya Aisyah r.a adalah “Aish” yang bermaksud ‘Hidup’ atau “Humairah” yang bermaksud ‘Yang berpipi kemerah-merahan’.

Ketiga : Perlu Selalu Membantu Isteri Kerja- kerja Rumah

Bukankah sebelum berkahwin anda telah berjanji dengan pasangan bahawa anda sanggup bersusah dan bersenang dengannya?

Nabi SAW pernah menjahit sendiri pakaiannya yang koyak

Jadi apabila salah seorang dari anda susah, pasangan yang satunya harus tampil membantu. Tidak kisah remeh mana sekalipun kesusahan itu, anda mesti bantu untuk ringankan beban pasangan.

Diriwayatkan juga daripada Aisyah r.a, katanya:

"Aku pernah melihat baginda Rasul SAW menaungi aku dari terik matahari dengan kain serban baginda sendiri, kerana pada ketika itu aku sedang asyik menonton orang-orang Habsyah sedang membuat pertunjukan di masjid, akhirnya aku merasa jemu melihat permainan tersebut.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keempat : Peruntukan Masa Dengan Pasangan

Bawa pasangan pergi bersiar-siar, ambil angin, kongsi kegembiraan dan rasakan nikmat bahagia itu bersama. Jangan jadikan anak-anak sebagai alasan untuk tidak mempunyai waktu bersama pasangan.

Menurut riwayat lain pula, dikatakan bahawa Aisyah pernah memberitahu:

“Tiba-tiba muncul beberapa orang berkulit hitam dan membuat pertunjukan di hadapan baginda Rasul SAW pada hari raya. Lalu baginda Rasul SAW mengajak aku pergi menonton pertunjukkan itu. Maka aku dibiarkan baginda Rasul menonton dari atas bahunya sehingga aku merasa puas”.

Kelima : Amalkan Sentuhan

Sudah sah sebagai suami isteri, jadi tiada apa yang boleh menghalang anda dari ‘melebih-lebih’ dengan pasangan. Rajin-rajinkanlah bermesra manja atau memeluk atau bersentuhan dengan cara apa pun bersama pasangan.

Dari Aisyah r.a: “Rasulullah SAW biasa meletakkan kepalanya dipangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian baginda membaca Al-Quran..”

(Hadith Riwayat: Abdurrazaq)

Dari Hafsah, puteri Umar r.a: “Sesungguhnya Rasulullah SAW biasa mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa…”

(Hadith Riwayat: Ahmad)

Diriwayatkan juga, daripada Aisyah, dia berkata… “Sesungguhnya Rasulullah SAW mengeluarkan kepalanya ke tempatku saat baginda di masjid, lalu aku menyisirkannya dan selama beriktikaf baginda tidak masuk rumah, kecuali kerana suatu keperluan”.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripadah Aisyah r.a, katanya:

“Pada satu hari ketika aku sedang datang bulan, lalu aku minum dari gelas baginda Rasul SAW Apabila baginda Rasul SAW melihat perbuatanku tersebut, maka baginda pun meminum air yang ada di gelas itu betul-betul di tempat mulutku meminum dari gelas tersebut."

(Hadis Riwayat Muslim)

Marilah sama- sama kita amalkan tip- tip rumah tangga bahagia yang di tunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk menjadi peduman kita semua. Tidak ada petunjuk yang lebih baik melainkan petunjuk daripada Rasulullah SAW.

🥦 Wassalam 🥦

Makmum Sundari
20.5.2019

#MS#AB
#SuaraPrihatin

Comments

Popular posts from this blog

Asmaul husna - pelbagai penyakit

Kelebihan surah Al Fiil

Kata-kata hikmah 2