Martabat ke6: Nafsu mardiah

USTAZ ALIAS:
MARTABAT KEENAM : NAFSU MARDIAH

Maqam nafsu ini adalah yang lebih tinggi dari maqam nafsu radhiah kerana percakapan atau kelakuan mereka adalah diredhai Allah dan diakui Allah. Jiwa mereka, perasaan mereka, lintasan hati mereka, gerak geri mereka, penglihatan, pendengaran, pancaindera, kesemuanya dari sisi mereka diredhai Allah swt.

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

Sesungguhnya Allah Ta'ala telah berfirman: Barangsiapa yang memusuhi seorang waliKu, maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya. Seorang hambaKu tidak bertaqqarub (iaitu menghampirkan dirinya) kepadaKu dengan suatu amalan yang lebih Aku sukai lebih daripada amalan yang Aku fardhukan ke atasnya. Seseorang hamba sentiasa bertaqqarub dirinya kepadaKu, dengan amalanamalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya, maka jadilah Aku pendengarannya yang dia mendengar sesuatu dengannya, jadilah Aku penglihatannya yang dia melihat sesuatu dengannya, jadilah Aku tangannya yang dengannya dia melakukan kerja, jadilah Aku kakinya yang dengannya dia berjalan. Sekiranya dia meminta daripadaKu Aku akan kurniakannya dan sekiranya dia meminta perlindungan dariKu nescaya Aku akan melindunginya.
- (Hadis diriwayatkan oleh al-lmam al-Bukhari)

Sabda Baginda Rasulullah saw dalam sebuah hadis Qudsi;

"Sentiasalah hambaKu berdampingan dirinya kepadaKu dengan mengerjakan ibadat sunat hingga Aku kasihkan dia, maka apabila Aku kasihkan dia nescaya adalah Aku pendengarannya, yang mana yang dia mendengar dengannya, penglihatannya yang dia melihat dengan Dia, penampar tangannya yang dia menampar dengan Dia, berjalan kakinya yang dia berjalan dengan Dia dan fikiran hatinya yang dia berfikir dengan Dia".

Mereka digelar wali Allah dalam martabat Khawas al-khawadh yakni wali Allah dalam martabat yang istimewa daripada wali-wali yang tertentu. Bagi mereka syurga adalah terjamin oleh Allah swt.

Mereka telah diberi sifat dengan budi perkerti yang tinggi sentiasa berfikir tentang kebesaran Allah serta ditajalli dengan segala sifat terpuji yang tertinggi sekali.

Mereka yang telah sampai keperingkat nafsu mardhiah kelihatan lebih tenang dan tenteram. Hati dan jiwanya telah benar-benar sebati dengan Allah swt.  Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Apabila kamu sekalian melihat seseorang Mukmin itu pendiam dan tenang, maka dekatilah dia. Sesungguhnya dia kan mengajar kamu hikmat.”
(Riwayat Ibnu Majah).

Orang yang berada di matabat nafsu Mardhiah ialah apa saja yang mereka lakukan mendapat keredhaan Tuhan dan mereka sudah duduk pada martabat Tauhidul Sifat maka mereka didudukkan pada maqam  diperlakukan bukan merasa melakukan. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi: “Mereka melihat dengan pandangan Tuhan, mendengar dengan pendengaran Tuhan, berkata-kata dengan kata-kata Tuhan.” Kata-kata mereka pada martabat KUN... istilah mulut masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata yang diredhai Tuhan. 

Pada peringkat ini segala yang keluar darinya semuanya telah diredhai Allah kerana duduk pada maqam syuhud menyaksi keESAan Tuhannya pada dirinya dan alam jagat. Perilakunya, kata-katanya, diamnya semuanya dengan keredhaan dan keizinan Allah swt belaka. Akan keluar keramat yang luar biasa dan mereka tidak merasa itu semua dari dan dengannya... fana dan baqa.

Mereka sudah menanam ingatan pada Allah diteras lubuk hati mereka menerusi cara "khafi-filkhafi", maknanya secara penyaksiaan 'basitiah' yaitu penyaksian sifat ma'ani Allah yang nyata dan dizahirkan oleh diri-Nya sendiri. Af'aal dan sifat diri mereka sudah dinafi dan diitsbatkan secara langsung kepada tajalli af'aal dan sifat Allah semata-mata. Jiwa mereka betul-betul sebati, ingatan mereka terhadap Allah tidak sesaatpun berpisah darinya. Penyaksiaan terhadap hak asma dan sifat Allah swt jelas baginya sehingga hilang dirinya nya sendiri yakni fana dan baqa yakni kekal bersama Allah swt.

Inilah dinyatakan sebagai Abu Yazib al Bistami: "Subha Inni.."

"Pandanglah yang satu pada yang banyak". Hakikat keberbilangan adalah keesaan Dzat, sifat dan afa'al Nya semata. Peringkat ini sudah tenggelam dalam fana baqabillah.

Pada peringkat inilah mereka suka mengasingkan diri, tidak begitu suka bergaul lagi dengan makhluk.

Namun begitu ia mempunyai kesedaran dua alam sekaligus. Zahir dan batin. Jasad berada dibumi namun Rohnya tinggi dialam Langit Ketuhanan bersama Allah swt.

Di peringkat mardhiah ini, mereka mengalami fana bakabillah yang berlaku akibat bertambah kuatnya gelora ingatannya kepada Allah SWT. Ketenangan jiwa raganya terbayang jelas di wajah-wajah mereka. Kegelisahan tidak lagi wujud dalam dirinya.

”...........Sesungguhnya orang-orang yang memiliki iman itu teramat sangat cintanya kepada Allah...............” (Al-Baqaraah: 165).

Allah SWT berfirman:

مَا عِنْدَكُمْ  يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللّٰهِ بَاقٍ ۗ  وَلَـنَجْزِيَنَّ الَّذِيْنَ صَبَرُوْۤا  اَجْرَهُمْ بِاَحْسَنِ مَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ
"(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan."
(QS. An-Nahl 16: Ayat 96)

Mereka yang berada di tahap martabat nafsu mardhiah bila bercakap amat berhati-hati hendak mengeluarkan kata-kata kosong yang tidak mendatangkan faedah dan kebaikan. Kehidupan mereka lebih kepada nafis-nafsi sepertimana yang dibayangkan oleh Rasulullah SAW:

”Apabila kamu sekalian melihat seseorang mukmin itu pendiam dan tenang, maka dekatilah ia. Sesuangguhnya dia akan mengajar kamu hikmat” (HR: Ibnu Majah).

Sikap pendiam orang-orang mardhiah ini adalah akibat tercapainya maqam syuhud yang menyaksi hakikat dibelakang tabir ciptaan ini tiada sesuatu selain asma-asma dan sifat-sifat Allah ysng diliputi oleh Ketunggalan satu Dzat kesemuanya, mereka sibuk dengan Allah swt dan berakhlak dihadapan al Malik serta bisu mereka dihadapan-Nya, seperti yang disifatkan oleh Allah SWT,

وَٱلَّذِينَ هُمْ عَنِ ٱللَّغْوِ مُعْرِضُونَ
dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,
(Al-Mu'minun 23 : 3)

Perilakunya, kata-katanya, diamnya semuanya dengan keredhaan dan keizinan Allah belaka.

Jiwanya, perasaannya, lintasan hatinya, gerak-geriknya, pendengarannya, penglihatannya, perkataannya, gerak kaki dan tangannya, kesemuanya itu adalah diredhai Allah belaka.

Dalam perjalanannya, hati orang martabat nafsu mardliyah ini seolah-olah merasa dalam keadaan dengan Allah semata-mata (Billah). 

Mereka terus menerus mengambil ilmu daripada Allah dari pemberian Allah swt... tajalli sifat Alim-Nya.

FirmanNya

, وَاتَّقُواْ اللّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللّهُ وَاللّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيم

“Dan bertakwalah kepada Allah. Allah mengajarmu dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (QS. Al-Baqarah:282)

Ilmu Wahbi, Ilmu khusus yang di berikan Allah kepada hamba-nya yang istimewa, sebagaimana sabda Nabi Saw;

“Barangsiapa mengamalkan apa yang ia ketahui, maka Allah akan memberikan kepadanya ilmu yang tidak ia ketahui.”

Iman Suyuthi rah.a. berkata, “Mungkin kalian berpendapat bahwa ilmu Wahbi itu berada di luar kemampuan manusia. Padahal tidak demikian, kerana Allah sendiri telah menunjukkan caranya, misalnya dengan mengamalkan ilmu yang dimiliki dan tidak mencintai dunia.”

Setelah melalui martabat fana’, dia akan kembali ke maqam baqa. Dengan kata lain setelah ia sampai kepada Allah, maka kembali lagi kepada makhluk. Dan ketika itu dapatlah ia masuk kedalam kehidupan masyarakat, memberi petunjuk dan menuntun umat ke jalan syari’at agama Allah yang benar dengan tauhid yang hakiki yakni dengan menafikan wujud diri dan setiap sesuatu dan mengajak untuk syuhud menyaksi keESAan Allah disetiap martabat wujud, membuang sifat keakuan diri dan menjadi hamba yang menjalankan hak ubudiyah dan ubudah sampai mati dengan menunaikan hak-hak keesaan-Nya tanpa gagal.

Dzikir mereka di martabat nafsu ini tetap hidup dalam persemadian rahsia (khafi) yaitu batin bagi “sirrus sirri”.

Zikir mereka adalah zikir rahsia, tidak lagi ada lafaz dengan lidah mahupun hati, tapi seluruh anggota zahir dan batin mengucapkan dengan zikir rahsia yang didengar oleh telinga batin di maqam tanaffas.

Zikirnya tidak pernah terganggu dengan alam zahir walaupun dia tengah bercakap atau buat apa sahajapun. 

Allah SWT berfirman:

الَّذِيْنَ يَذْكُرُوْنَ اللّٰهَ قِيَامًا وَّقُعُوْدًا وَّعَلٰى جُنُوْبِهِمْ  وَيَتَفَكَّرُوْنَ فِيْ خَلْقِ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِ ۚ  رَبَّنَا مَا  خَلَقْتَ هٰذَا بَاطِلًا  ۚ  سُبْحٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
"(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka."
(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 191)

Allah SWT berfirman:

فَاِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلٰوةَ فَاذْكُرُوا اللّٰهَ قِيَامًا وَّقُعُوْدًا وَّعَلٰى جُنُوْبِكُمْ   ۚ  فَاِذَا اطْمَأْنَنْتُمْ فَاَقِيْمُوا الصَّلٰوةَ   ۚ  اِنَّ الصَّلٰوةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتٰبًا مَّوْقُوْتًا
"Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya."
(QS. An-Nisa' 4: Ayat 103)

Bagi mereka di maqam ini setiap perbuatan, perkataan, penglihatan dan apa sahaja adalah zikir. Setiap huruf dan perkataan apapun dan bunyi apapun itu adalah asma dan himpunan asma-asma.

Kerana tiada sesuatu pun yang ditajallikan dialam jagat ini yang bukan dari asma dan sifat Allah!

Diantara sifat-sifat akhlak mulia dan terpuji yang timbul dari martabat nafsu Mardhiah ini adalah sebagai berikut:

1. Baik budi pekertinya seperti akhlak para Nabi-Nabi... tajalli hakikat Nur Muhammadi, perolehi akhlak seperti Muhammad, akhlak al Quran yakni tajalli dari sifat-sifat-Nya hingga bisa berakhlak seperti yang dikehendaki oleh Allah swt dan ditunjuk oleh Rasulullah saw.

2. Ramah tamah dalam pergaulan dengan masyarakat sebagaimana perangai para Nabi.

3. Senantiasa merasa berdampingan dengan Allah.

4. Selalu berfikir pada kebesaran Allah

5. Redha dengan apa saja pemberian Allah dan sabar.

Dan lain-lain budi pekerti yang luhur dan terpuji.

Comments

Popular posts from this blog

Asmaul husna - pelbagai penyakit

Kelebihan surah Al Fiil

Kata-kata hikmah 2