Memandang dosa

KESAN DARI DOSA...

Dalam sebuah hadith yang masyhur.

“Orang yang beriman akan melihat dosanya umpama gunung yang menghempap, manakala ahli maksiat pula akan melihat dosa itu umpama lalat yang hinggap pada hidung.” (Hadith riwayat Bukhari)

Kerana kita akan membicarakan berkenaan kesan dosa.

Kita akan bermula akibat dosa kepada hati. Raja kepada segala anggota.

Nanti selepas kita mengetahui kesan dan akibatnya, kita sendiri yang akan melihat semula diri kita. Sejauh mana kita melihat dosa kita itu sebagai apa. Gunung? Atau lalat yang dikuis kemudian hilang?
Kerana dosa, perlu kita padam dan hapuskannya jika benar hendak menyelamatkan diri kita.
Dosa yang menggelapkan jiwa.


Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut oleh Allah SWT di dalam kitabNya: Sesekali tidak, sebenarnya apa yang mereka lakukan telah mengaratkan (menutup) hati mereka. Surah Al-Mutoffifin ayat 14.” (Hadith riwayat Al-Baihaqi)

Apabila hati gelap, maka terpadamlah pandangan jiwa.

Hubungan dengan Allah SWT akan terputus, lantas maksiat kita akan lakukan tanpa peduli dan berkira-kira. Oleh sebab itu, perhatikanlah sabdaan baginda Rasulullah SAW:
“Tidak akan mencuri seorang pencuri, sekiranya ketika dia mencuri itu dia beriman. Tidak akan berzina seorang penzina, sekiranya ketika dia berzina itu dia beriman. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak, sekiranya ketika dia meminum arak itu dia beriman.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Sekiranya dia beriman, dia tidak akan melakukan dosa.
Kerana, dosa dengan keimanan adalah dua dunia yang berbeza. Tidak akan bersatu dalam satu masa. Maka hati yang gelap, akan memadamkan keimanan ini, akan melindungi keimanan ini, sekaligus membuatkan kita lemah dan terjerumus ke dalam dosa.
Sedangkan hati adalah raja.

Rasulullah SAW bersabda:
"Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim, dari Nu’man bin Basyir)

Kita tidak sedar akan hal ini. Kadangkala, kita fikir dosa itu satu perkara lain. Akan masuk ke dalam satu ‘akaun bank’ yang lain. Yang terpisah. Tidak! Tidaklah begitu adanya.

Dosa ini akan masuk ke dalam ‘akaun bank’ yang sama. Ibarat virus. Menjalar dan memusnah, memadamkan pahala-pahala, dan menggelapkan jiwa. Seterusnya jika tidak dihalang, jika tidak dicuci dan dibersihkan, bukan sahaja akan merosakkan hati, tetapi juga sikap, akhlak, dan peribadi.
Kerana amalan, adalah apa yang menterjemahkan hati.

Kita akan jadi malas beribadah. Kita akan mula rasa jauh daripada Allah SWT, seakan-akan Allah tidak melihat kerja-kerja kita. Kita akan mula rasa cepat penat melakukan kebaikan. Kita akan cepat rasa marah. Cepat berputus asa. Cepat kecewa. Kerana dosa telah menghijab kita daripada Allah SWT.

Oleh kerana itu, dalam hal ini kita perlu lebih peka dan sensitif.
Dosa, perlu kita pandang sebagai yang lebih kotor daripada najis.

Kalau najis terlekat pada tangan kita, kita boleh rasa geli, kita boleh cuci. 

Maka bagaimana pula dosa yang menggelapkan hati, menjauhkan kita daripada perintah Ilahi? Tidakkah sepatutnya kita rasa lebih geli?
Kerana itu, yang benar-benar sensitif dengan dosa ini hanyalah orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya.

Orang yang beriman pula, bukanlah sempurna. Kerana iman itu boleh meningkat naik dan ada kalanya ia turun. Tetapi keimanan yang bergetar dan sentiasa diperbahurui, akan cepat menyedarkannya. Orang beriman akan cepat mencuci dosanya bila tersedar. Tidak akan berlama-lama. Dia akan menyesal bersungguh-sungguh, dan berusaha untuk tidak mengulangnya.
Sebab orang yang beriman, akan melihat dosa itu ibarat gunung yang akan menghempapnya.
Tetapi orang-orang yang tidak beriman, yang tidak benar keimanannya, yang ada masalah dengan keimanannya, orang-orang ini hanya akan memandang dosa seperti lalat yang hinggap pada hidungnya. Sangkanya, dengan kuis sedikit, dosa akan hilang begitu sahaja. Mereka tidak ambil peduli.

Sebab itulah, ia akan berterusan bergelumang di dalamnya.
Maka siapakah yang berusaha untuk mencuci hatinya?
Atau sekadar membiarkan sahaja hati itu terus dalam keadaan lemah dan sengsara, dimamah dosa?

Sumber: Masjid Al-Kauthar

Comments

Popular posts from this blog

Asmaul husna - pelbagai penyakit

Kelebihan surah Al Fiil

Kata-kata hikmah 2