Akhlak Rasulullah

⏰ Tazkirah *_Asar_* - 16/11/2018

🗓 _08_ _*Rabiulawal*_ 1440 *_Hijrah_*

✨ *_بسم الله الرحمن الرحيم_* ✨
✨ *_السلام عليكم ورحمة الله وبركاته_* ✨

📝  *7 Akhlak Rasulullah Menjadi Teladan Dalam Kehidupan Kita*

Sesungguhnya Nabi kita, Muhammad s.a.w diutuskan oleh Allah s.w.t untuk menyempurnakan akhlak yang ada pada diri manusia. Hal ini berdasarkan sabda Baginda yang bermaksud;

“Aku diutuskan (oleh Allah) hanyalah untuk menyempurnakan akhlak.”Hadis Riwayat Ahmad

Menurut bahasa, perkataan akhlak atau khulqudari bahasa Arab bermaksud perangai, budi, tabiat dan adab. Ia terbahagi kepada dua, iaitu akhlak mahmudah (terpuji, baik) dan akhlak mazmumah (keji, buruk, tercela).

Tahukah anda, akhlak merupakan salah satu faktor utama bagi mengukur kesempurnaan iman seseorang hamba, seperti yang disabda oleh Baginda saw;

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya.”Hadis Riwayat Tirmizi

Justeru itu, bagaimana kita ingin mengecapi akhlak yang terbaik, dalam erti kata lain akhlak tersebut diredhai oleh Allah s.w.t. Jawabnya mudah, iaitu dengan mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w. Antaranya seperti berikut;

#1 – Pemurah

Baginda merupakan seorang yang amat pemurah. Setiap hari, Baginda akan memastikan harta yang dimilikinya itu akan didermakan kepada fakir miskin. Rezeki yang diperolehi melalui pekerjaan yang dilakukan oleh Baginda itu hanyalah sekadar untuk keperluannya sahaja, manakala selebihnya diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Dari Ibnu Abbas r.a berkata;

“Rasulullah s.a.w manusia yang paling pemurah dan lebih pemurah lagi di bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya pada setiap malam di bulan Ramadan, lalu Jibril mengajarinya al-Quran, dan sungguh Rasulullah s.a.w ketika Jibril menemuinya Baginda sangat pemurah melakukan kebajikan melebihi angin yang berhembus.”Muttafaq ’alaih

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud;

“Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan jauh dari api neraka. Orang yang kedekut itu jauh dari Allah, jauh dari manusia dan dekat dengan neraka. Sesungguhnya orang yang bodoh tetapi pemurah itu lebih disayangi Allah daripada seorang abid yang bakhil.”Hadis Riwayat Tirmizi

#2 – Beradab Ketika Menjamu Makanan

Baginda mengajar kepada kita, sebelum makan mulakan dengan berdoa. Selain menghalang syaitan daripada berkongsi makanan dengan kita, berdoa juga merupakan tanda syukur kita kepada Allah swt atas nikmat rezeki yang dikurniakan.

Tangan kanan digunakan untuk menyuap makanan dan Baginda akan memilih lauk yang paling dekat terlebih dahulu. Selain itu, Baginda juga tidak akan mencela makanan apabila tidak menyukainya, melainkan hanya menyisihkannya sahaja.

#3 – Pemakaian Dan Berwangi-wangian

Baginda amat sederhana dalam aspek pemakaian. Warna putih adalah warna kegemaran Baginda. Setiap kali memakai pakaian, Baginda akan memulakannya dari arah kanan dan disertai doa, manakala apabila melepaskan pakaian pula dimulakan dengan sebelah kiri.

Selain menjaga kebersihan dan kekemasan pemakaiannya, Baginda turut menyukai wangi-wangian dan tubuh Baginda sentiasa berbau harum. Hal ini membuatkan orang sekeliling menyenangi Baginda. Anas bin Malik menyatakan;

”Aku belum pernah menyentuh sutera yang lebih lembut dibandingkan telapak tangan Rasulullah s.a.w. dan aku juga belum pernah mencium minyak wangi (misk) apapun yang lebih harum dibandingkan aroma Rasulullah s.a.w.”Hadis Riwayat Bukhari

#4 – Menjaga Tutur Kata

Ketika berbicara, Baginda menggunakan ayat-ayat yang ringkas, padat, lengkap, dan mudah difahami oleh orang-orang yang mendengarnya. Selain itu, Baginda juga tidak akan bercakap melainkan yang penting dan terdapat keperluan.

Baginda tidak akan meninggikan suara melainkan untuk menyatakan hal yang benar dan apabila ia berkait hak-hak Allah s.w.t. Apabila ada yang bertanyakan sesuatu padanya, Baginda akan menjawab segala persoalan tersebut dengan jawapan dan nasihat yang mudah diterima serta tidak menyinggung hati.

Abu Hurairah r.anhu berkata;

“Baginda adalah seorang yang panjang kedua lengannya, lentik alisnya, kedua matanya lebar, dan antara kedua bahunya gagah dari depan dan belakang. Demi bapa dan ibuku, sungguh Baginda tidak pernah berbuat keji dan tidak pula berkata keji, dan Baginda juga tidak pernah mengeraskan suaranya di tempat umum.”Hadis Riwayat Ahmad

#5 – Berlapang Dada Dan Pemaaf

Salah satu contoh sifat Rasulullah s.a.w yang sentiasa berlapang dada dan pemaaf adalah ketika di suatu peperangan, seorang tentera Musyrikin mengugut Baginda dan tentera Muslimin dengan berkata,

“Siapakah di antara kamu yang dapat menyelamatkan engkau dari pedangku?”

“Allah.”

Jawab Rasulullah, sehingga menyebabkan tangan tentera Musyrikin itu gementar dan pedangnya jatuh. Kemudian, Baginda mengambil pedang tersebut lalu berkata,

“Siapakah kini yang dapat mempertahankan engkau daripadaku?”

Tentera Musyrikin itu menjawab,

“Ambilllah nyawaku dengan cara yang baik.”

Rasulullah s.a.w diberi peluang untuk membalas dendam, namun Baginda tidak melakukannya, bahkan meminta tentera Musyrikin itu mengucap kalimah syahadah.

Aisyah r.anha berkata;

“Baginda (Rasulullah) adalah orang yang paling mulia akhlaknya, tidak pernah berlaku keji, tidak pula mengucapkan kata-kata kotor, tidak berbuat gaduh di pasar, dan tidak pernah membalas dengan perkara tercela yang serupa, akan tetapi Baginda seorang yang pemaaf dan pengampun.”Hadis Riwayat Ahmad

#6 – Berkasih Sayang Sesama Manusia

Apabila dua atau tiga hari Rasulullah s.a.w tidak melihat salah seorang sahabatnya atau tidak bertemu di mana-mana, Baginda pasti akan bertanya dan mencari mereka. Baginda akan menziarahi ke rumah sahabat tersebut tanpa rasa sombong. Malah, Baginda bersolat, makan dan duduk bersama para sahabat.

Hal ini kerana, orang-orang mukmin itu seperti bangunan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain. Juga, ibarat satu jasad seperti sabda Baginda berikut;

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal kasih, sayang dan kecenderungan jiwa (simpati) seperti perumpamaan jasad/tubuh. Jika salah satu anggota tubuh sakit maka, seluruh tubuh akan merasakannya, iaitu tidak boleh tidur dan (sakit) demam.”Hadis riwayat Ahmad, Baihaqi, Muslim.

#7 – Ibadah

Walaupun Baginda seorang rasul, kekasih Allah dan syurga itu pasti miliknya, namun Baginda tidak mengabaikan perintah Allah s.w.t kepada setiap hamba-Nya. Bahkan, Baginda memperbanyakkan solatnya sehingga bengkak kakinya melebihi umat yang lain.

Selain itu, Baginda turut berpuasa selang sehari dan sentiasa membasahkan lidahnya dengan zikir, sama ada ketika dalam keadaan jaga (sedar) atau tidur.

Pernah suatu ketika Aisyah r.anha berkata;

“‘Rasulullah apabila solat malam, Baginda akan berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau berbuat seperti ini, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang’. Maka Nabi saw menjawab; ‘Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang pandai bersyukur?’”Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Begitulah antara beberapa sifat atau akhlak yang dimiliki oleh penghulu Nabi kita, Muhammad s.a.w dan ia patut diteladani oleh umat Islam kini. Sesungguhnya, kemuliaan seseorang itu bergantung pada akhlak peribadinya.

Akhlak yang ‘memandu’ diri seseorang itu pula bergantung pada keadaan hatinya. Jika baik hatinya, maka baiklah seluruh anggota tubuhnya. Mudah-mudahan, perkongsian ini menjadikan kita umat Islam yang lebih baik dari sebelumnya.

_Wallahua’lam._

*_#DakwahUntkIslamTerhebat_*

💕 *_اللهم صل على محمد وعل آل محمد_* 💕

🎓 *_Hamba Allah ( MZ.MAM )_*

Comments

Popular posts from this blog

Asmaul husna - pelbagai penyakit

Kelebihan surah Al Fiil

Kata-kata hikmah 2