Kelebihan maulid Nabi

PENJELASAN TENTANG KELEBIHAN MAULID NABI ﷺ

Telah berkata Imam Syihabuddin Ahmad Ibnu Hajar Al-Haitami Asy-Syafi'i رحمة الله تعالى dalam kitabnya bernama : Ni’matul Kubra 'Alal 'Alam Fi Maulidi Saidi Waladi Adam, dalam Bab : Faslun Fii Bayan Fadli Maulid Nabi ﷺ :

Telah berkata Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq رضى الله عنه : "Barangsiapa yang menafkahkan satu dirham bagi menggalakkan bacaan Maulid Nabi ﷺ, maka ia akan menjadi temanku di dalam syurga.”

Telah berkata Saiyidina 'Umar Al-Khattab رضى الله عنه : "Sesiapa yang membesarkan (memuliakan) majlis maulid Nabi ﷺ, maka sesungguhnya ia telah menghidupkan Islam."

Telah berkata Saiyidina Utsman Ibnu Affan رضى الله عنه : "Sesiapa yang menafkahkan satu dirham untuk majlis membaca maulid Nabi ﷺ, maka seolah-olah ia menyaksikan peperangan Badar dan Hunain."

Telah berkata Saiyidina ‘Ali كرم الله وجهه : “Sesiapa yang membesarkan majlis maulid Nabi ﷺ dan kerananya diadakan majlis membaca maulid, maka dia tidak akan keluar dari dunia melainkan dengan keimanan dan akan masuk ke dalam syurga tanpa hisab.”

Telah berkata Imam Hasan Al-Bashri رضى الله عنه : “Aku suka sekiranya aku mempunyai emas setinggi gunung Uhud, maka aku akan membelanjakannya untuk membaca maulid Nabi ﷺ."

Telah berkata Imam Junaid Al-Baghdadi قدس الله سره : “Sesiapa yang menghadiri majlis maulid Nabi ﷺ dan membesarkan kedudukannya, maka sesungguhnya ia telah mencapai kejayaan iman. ”

Telah berkata Syeikh Ma’ruf Al-Karkhi رضى الله عنه : “Sesiapa yang menyediakan makanan sempena majlis membaca maulid Nabi ﷺ, mengumpulkan saudaranya, menyalakan lampu, memakai pakaian yang baru, memasang bau yang wangi dan memakai wangi-wangian kerana membesarkan kelahiran Nabi ﷺ, nescaya Allah akan mengumpulkannya pada hari kiamat bersama kumpulan yang pertama di kalangan nabi-nabi dan adalah dia berada di syurga yang teratas (Illiyyin).”

Telah berkata seorang yang unggul pada zamannya, Imam Fakhruddin Al-Razi رضى الله عنه : “Tidaklah seseorang yang membaca maulid Nabi ﷺ ke atas garam atau gandum atau makanan yang lain, melainkan akan zahir keberkatan padanya, dan setiap sesuatu yang sampai kepadanya (dimasuki) dari makanan tersebut, maka makanan tersebut akan bergoncang dan tidak akan tetap sehinggalah Allah mengampunkan orang yang memakannya”. “Sekiranya dibacakan maulid Nabi ﷺ ke atas air, maka orang yang meminum seteguk dari air tersebut akan masuk ke dalam hatinya seribu cahaya dan rahmat, akan keluar daripadanya seribu sifat dengki, penyakit dan tidak mati hati tersebut pada hari dimatikan hati-hati”. “Sesiapa yang membaca maulid Nabi ﷺ pada suatu dirham yang ditempa dengan perak atau emas dan dicampurkan dirham tersebut dengan yang lainnya, maka akan jatuh ke atas dirham tersebut keberkatan, pemiliknya tidak akan fakir dan tidak akan kosong tangannya dengan keberkatan Nabi ﷺ."

Telah berkata Imam Asy-Syafi’i رحمة الله تعالى : “Sesiapa yang menghimpunkan saudaranya (sesama Islam) untuk mengadakan majlis maulid Nabi ﷺ, menyediakan makanan dan tempat serta melakukan kebaikan, dan dia menjadi sebab dibaca maulid Nabi ﷺ itu, maka dia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat bersama ahli siddiqin (orang-orang yang benar), syuhada’ dan solihin serta berada di dalam syurga-syurga Na’im.”

Telah berkata Syeikh As-Sariyy As-Saqothi قدس الله سره : “Sesiapa yang pergi ke suatu tempat yang dibacakan di dalamnya maulid Nabi ﷺ, maka sesungguhnya ia telah pergi ke satu taman dari taman-taman syurga, kerana tidaklah ia menuju ke tempat-tempat tersebut melainkan lantaran kerana kasihnya kepada Nabi ﷺ. Sesungguhnya Rasulullah ﷺ telah bersabda : “Sesiapa yang mengasihiku, maka ia akan bersamaku di dalam syurga.”

Telah berkata Sultan Ahli ‘Arifin Imam Jalaluddin Al-Suyuthi قدس الله سره (semoga Allah menyucikan rahsianya dan menerangkan maqamnya), di dalam kitabnya yang dinamakan dengan Al-Wasail fi Syarh Al-Syamail : “Tidak ada suatu rumah atau masjid atau tempat yang dibacakan di dalamnya maulid Nabi ﷺ, melainkan akan dikelilingi oleh malaikat rumah atau masjid tersebut. Para malaikat akan merahmati ke atas penghuni tempat-tempat tersebut dan Allah melimpahkan rahmat dan keredhaanNya. Manakala malaikat yang dikelilingi dengan cahaya iaitu Jibrail, Mikail, Israfil dan ‘Izrail عليه سلم, mereka semua mengucapkan selawat ke atas orang yang menjadi sebab diadakan majlis bacaan maulid Nabi ﷺ.”

Beliau juga berkata : “Tidaklah seorang Muslim yang membaca maulid Nabi ﷺ di dalam rumahnya, melainkan Allah Ta’ala akan mengangkat kemarau, wabak penyakit, kebakaran, banjir, kerosakan, bala, kebencian, hasad, pandangan yang jahat (sihir), kecurian dari penghuni rumah tersebut. Apabila ia mati, maka Allah mempermudahkan ke atasnya menjawab soalan Munkar dan Nakir dan dia ditempatkan di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.”

Telah berkata Imam Syihabuddin Ahmad Ibnu Hajar Al-Haitami Asy-Syafi'i رحمة الله تعالى dalam kitabnya ini juga :

“Sesiapa yang hendak membesarkan maulid Nabi ﷺ, maka cukuplah disebutkan sekadar ini sahaja akan kelebihannya. Bagi sesiapa yang tiada di hatinya hasrat untuk membesarkan maulid Nabi ﷺ, sekiranya dipenuhi dunia ini dengan pujian ke atasnya, tetap juga hatinya tidak akan tergerak untuk mengasihi Nabi ﷺ.

Semoga Allah menjadikan kami dan kalian di kalangan orang yang membesarkan dan memuliakannya dan mengetahui kadar kedudukan Baginda ﷺ, serta menjadi orang yang teristimewa di kalangan orang-orang yang teristimewa di dalam mengasihi dan mengikutinya. آمين يارب العالمين.

Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad ﷺ, keluarganya dan sahabat-sahabatnya sekalian hingga Hari Kemudian.

Comments

Popular posts from this blog

Asmaul husna - pelbagai penyakit

Kelebihan surah Al Fiil

Kata-kata hikmah 2