Menjaga hak
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Jaga Hak Allah, Diri dan Masyarakat*
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَأْخُذُ عَنِّي هَؤُلَاءِ الْكَلِمَاتِ فَيَعْمَلُ بِهِنَّ أَوْ يُعَلِّمُ مَنْ يَعْمَلُ بِهِنَّ فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَقُلْتُ أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَأَخَذَ بِيَدِي فَعَدَّ خَمْسًا وَقَالَ اتَّقِ الْمَحَارِمَ تَكُنْ أَعْبَدَ النَّاسِ وَارْضَ بِمَا قَسَمَ اللَّهُ لَكَ تَكُنْ أَغْنَى النَّاسِ وَأَحْسِنْ إِلَى جَارِكَ تَكُنْ مُؤْمِنًا وَأَحِبَّ لِلنَّاسِ مَا تُحِبُّ لِنَفْسِكَ تَكُنْ مُسْلِمًا وَلَا تُكْثِرْ الضَّحِكَ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ
_*Dari Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Siapakah yang mahu mengambil beberapa kalimat daripadaku lalu mengamalkannya atau mengajarkan pada orang yang akan mengamalkannya?" Abu Hurairah menjawab: Saya, wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah memegang tanganku lalu menyebut lima perkara; Jauhkanlah larangan-larangan nescaya kamu akan menjadi orang yang paling beribadah, terimalah pemberian Allah dengan rela nescaya engkau akan menjadi orang paling kaya, berbuat baiklah kepada jiran tetangga nescaya kamu akan menjadi orang yang benar-benar beriman, kasihilah orang lain sepertimana engkau mengasihi dirimu sendiri nescaya engkau akan menjadi orang muslim yang sebenar-benarnya dan, janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa akan mematikan hati."*_ (HR Tirmidzi No: 2227) Status: Hadis Hasan
*Pengajaran:*
1. Rasulullah SAW mengajar kepada kita untuk mengambil pesanan baginda bagi di amalkan dan disampaikan kepada orang lain. Antara pesanan untuk dilaksanakan dan disampaikan:
a. Jauhi larangan dan tegahan seperti minum arak, mencuri, meninggalkan perintah wajib umpama solat dan sebagainya agar kita menjadi orang yang paling beribadat.
b. Merasa reda dan puas hati dengan apa yang dikurniakan Allah. Tidak merasa keluh kesah, kecewa serta tamak dengan apa yang dimiliki. Yakin setiap sesuatu itu adalah ketentuan taqdir Allah nescaya kita akan menjadi orang yang paling kaya.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ
Dari Abu Hurairah dari Nabi SAW baginda bersabda: "Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati." (HR Bukhari No: 5965)
c. Berbuat baik kepada jiran tetangga dengan sentiasa menyayangi, memberi pertolongan, menziarahi, tidak menyakitinya sama ada dengan perbuatan, perkataan dan sebagainya. Menjaga hak jiran sama ada Muslim mahupun tidak, adalah bukti kesempurnaan iman.
d. Mengasihi orang lain sepertimana kita mengasihi diri sendiri adalah bukti keislaman dan keimanan seseorang. Tidak boleh menzalimi dan menganiaya serta menyakiti saudara kita. Firman Allah:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara (hujurat: 10)
e. Jangan banyak ketawa kerana banyak gelak ketawa akan melalaikan seseorang daripada mengingati Allah serta akan menjadi penyebab menghalang cahaya petunjuk dan boleh mematikan hati.
2. *Marilah kita menjaga hak Allah, hak diri dan hak manusia. Peliharalah hubungan yang baik sama ada hubungan dengan Allah juga dengan masyarakat seluruhnya.*
#Semarak Ukhuwah Memacu Perubahan#
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor
27hb Mac 2018
09hb Rejab 1439H
Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
Ingin menyertai 1 hari 1 hadis dalam bahasa English? Sila klik link di bawah:
https://t.me/ahadithadayAHAD
Comments
Post a Comment